Anwar mahu Asia jadi ‘jambatan’, bukan medan pertempuran

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan bahawa dunia hari ini bukan berdepan kekurangan kuasa, sebaliknya berdepan kekurangan kefahaman bahawa kerjasama jauh lebih baik daripada perpecahan.

Menyampaikan ucaptama bertajuk “Navigating Strategic Uncertainty” pada Persidangan Antarabangsa Nikkei Future of Asia di Tokyo, Anwar berkata landskap geopolitik dan geoekonomi global sedang berubah dengan pantas akibat konflik berlarutan, persaingan kuasa besar, rantaian bekalan yang semakin rapuh serta ketidaktentuan ekonomi.

Menurut beliau, dunia tidak boleh terus terperangkap dalam kerangka lama yang melihat hubungan antarabangsa semata-mata melalui persaingan kuasa dan kepentingan sempit.

“Asia membangun hasil daripada keterbukaan, perdagangan, pelaburan dan kerjasama. Cabaran kita hari ini bukan meninggalkan sistem antarabangsa yang sedia ada, tetapi mereformasi dan memperkukuhnya supaya terus relevan dengan tuntutan zaman,” katanya.

Anwar berkata institusi antarabangsa yang dibina selepas Perang Dunia Kedua telah memainkan peranan penting mengangkat jutaan manusia keluar daripada kemiskinan, namun pembaharuan perlu dilakukan bagi menyesuaikan diri dengan realiti baharu dunia.

Beliau turut menegaskan bahawa negara-negara kuasa pertengahan seperti Malaysia mempunyai tanggungjawab besar untuk menjadi jambatan persefahaman ketika dunia semakin terpolarisasi.

“Walaupun kita tidak mempunyai pengaruh seperti kuasa-kuasa besar, kita masih mampu membina kesepakatan dan menggalakkan kerjasama ketika dunia semakin cenderung kepada perpecahan,” katanya.

Dalam ucapannya, Anwar turut menyentuh mengenai perkembangan pesat kecerdasan buatan (AI), yang menurut beliau menjanjikan manfaat besar kepada manusia tetapi pada masa sama membawa cabaran baharu dari sudut tadbir urus dan keadilan ekonomi.

Beliau mengingatkan bahawa kemajuan teknologi tidak boleh hanya memperkayakan segelintir pihak atau melebarkan jurang pembangunan antara negara maju dan negara membangun.

Sebaliknya, katanya, negara-negara membangun mesti diberikan ruang dan suara yang bermakna dalam menentukan tatakelola teknologi yang bakal mempengaruhi kehidupan berbilion manusia pada masa hadapan.

Anwar turut menekankan bahawa ASEAN kekal relevan sebagai platform yang mengutamakan keterangkuman, dialog dan kerjasama di tengah-tengah ketegangan geopolitik dunia.

Menurut beliau, semangat itu menjadi asas hubungan erat Malaysia dan Jepun dalam memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang semikonduktor, peralihan tenaga, ekonomi digital dan kecerdasan buatan, sekali gus membina rantaian bekalan yang lebih berdaya tahan serta kemakmuran yang dapat dikongsi bersama.

Mengakhiri ucapannya, Anwar menggunakan analogi pelayar zaman silam yang tidak mampu mengawal arah angin atau meramal setiap badai, namun tetap mempunyai destinasi yang jelas.

“Dunia hari ini tidak kekurangan kuasa, tetapi kekurangan kefahaman bahawa kerjasama sentiasa lebih baik daripada perpecahan, bahawa institusi perlu diperbaharui bukannya ditinggalkan, dan kepimpinan menuntut keberanian untuk membentuk masa depan, bukan sekadar bertindak balas terhadap keadaan,” katanya.

BACA JUGA Suara rakyat kini di kain rentang, di mana tindakan Kerajaan Terengganu?