Kami sudah setuju berbincang, esoknya Pas putuskan hubungan, Marzuki
Bekas Setiausaha Sulit Kanan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr Ahmad Marzuki Mohamad mendedahkan bahawa usaha saat-saat akhir untuk menyelamatkan hubungan antara Bersatu dan Pas sebenarnya sedang berlangsung, malah Bersatu dikatakan bersedia meneliti tiga syarat yang dikemukakan Pas demi mengekalkan Perikatan Nasional (PN).
Bagaimanapun, menurut beliau, sebelum proses itu sempat dimuktamadkan, Jawatankuasa Pas Pusat mengambil keputusan memutuskan hubungan politik dengan Bersatu pada 8 Jun lalu.
Dalam catatan panjang di media sosial, Ahmad Marzuki berkata beliau sendiri telah menghubungi beberapa pemimpin dan rakan dalam Pas ketika konflik kedua-dua parti memuncak bagi mencari jalan penyelesaian.
“Mereka menjawab mesej saya tetapi tidak memberikan jawapan yang tuntas sama ada keadaan masih boleh diselamatkan atau tidak,” katanya.
Menurut beliau, seorang sahabat yang rapat dengan seorang pemimpin kanan Pas turut menawarkan diri menjadi orang tengah, namun usaha tersebut tidak berjaya.
Beliau kemudian menghubungi Pengerusi PN yang juga Naib Presiden Pas, namun ketika itu pemimpin berkenaan berada di luar negara.
Ahmad Marzuki berkata beliau turut mengatur pertemuan antara Tan Sri Annuar Musa dan Muhyiddin di kediaman bekas perdana menteri itu pada 4 Jun lalu.
Katanya, dalam pertemuan tersebut Annuar menyampaikan pandangan Pas mengenai isu-isu yang menjadi punca konflik, manakala Muhyiddin pula menjelaskan pendirian Bersatu.
“Akhirnya kami bersetuju isu-isu ini tidak perlu diungkitkan lagi kerana kedua-dua parti mempunyai pandangan masing-masing. Jika hendak bergerak ke hadapan, kita mesti fokus kepada penyelesaian,” katanya.
Menurut beliau, antara cadangan yang dibincangkan ialah berhubung permohonan parti-parti Melayu-Islam lain untuk menyertai PN.
Beliau berpandangan isu itu boleh diselesaikan sama ada dengan menerima mereka sebagai anggota penuh atau anggota bergabung, sambil mengingatkan bahawa sebelum ini Bersatu lebih cenderung kepada konsep kerjasama pilihan raya (electoral pact).
Malah, katanya, Muhyiddin tidak pernah menolak penyertaan parti-parti tersebut dan pernah membuka ruang supaya mereka menggunakan logo PN dalam pilihan raya.
Selain itu, beliau berkata isu hubungan Bersatu dengan kumpulan yang dikenali sebagai RESET turut dibincangkan.
Menurutnya, walaupun beliau mengakui masih wujud “luka yang berdarah” dalam kalangan Bersatu terhadap kumpulan itu, parti tersebut tetap bersedia berbincang sekiranya perkara itu penting demi menjaga kepentingan PN.
Dua hari selepas pertemuan tersebut, katanya, Muhyiddin menerima surat daripada Setiausaha Agung Pas yang mengemukakan tiga syarat bagi memulihkan hubungan kedua-dua parti.
Tiga syarat itu ialah Bersatu perlu membersihkan persepsi negatif terhadap Pas, menerima penyertaan parti-parti lain ke dalam PN serta bersedia duduk semeja dengan kumpulan RESET.
Ahmad Marzuki berkata beliau menarik nafas lega apabila membaca kandungan surat itu kerana syarat-syarat tersebut tidak jauh berbeza dengan perkara yang telah dibincangkan bersama Annuar Musa.
Beliau kemudian berbincang dengan Muhyiddin dan berpandangan syarat-syarat itu boleh dipertimbangkan oleh Bersatu demi menjaga perpaduan dan keutuhan PN.
Menurutnya, Muhyiddin pada 7 Jun telah menghantar surat balasan kepada Setiausaha Agung Pas yang menyatakan kesediaan Bersatu meneliti syarat-syarat tersebut melalui Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti sebelum keputusan rasmi dibuat.
Namun, sehari kemudian pada 8 Jun, Jawatankuasa Pas Pusat memutuskan untuk menamatkan hubungan politik dengan Bersatu.
“Saya menerima keputusan Pas dengan hati terbuka jika itu adalah kehendak Pas,” katanya.
Beliau bagaimanapun mengakui setiap parti mempunyai pertimbangan politik tersendiri dalam menentukan hala tuju dan hubungan dengan rakan gabungan, sambil berharap hubungan persahabatan dengan rakan-rakan dalam Pakan terus kekal meskipun hubungan politik telah berakhir.
BACA JUGA Jomo : Perang bukan sekadar peluru, tapi boleh kosongkan pinggan makan dunia