Kes pukul dan rosakkan kedai runcit di Terengganu, walaun dah buat undang-undang sendiri

Tular di media sosial tindakan melampau di Terengganu yang dikenali sebagai kubu kuat Pas apabila sebuah kedai runcit di Kampung Mak Kemas, Marang diserang semalam oleh tiga lelaki tempatan.

Menurut ahli keluarga mangsa, Ainul Rahmah, kedai berkenaan diuruskan oleh adik iparnya yang merupakan warga Bangladesh dan telah menetap secara sah di Malaysia selama 12 tahun.

Beliau berkata, adik iparnya itu memiliki permit yang sah, pasport, lesen memandu serta menjalankan perniagaan berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) tanpa sebarang rekod kesalahan undang-undang.

Dakwa Ainun, tiga lelaki terbabit bertindak menyerang kedai berkenaan pada waktu Maghrib dengan mengeluarkan kata-kata kesat sebelum mencetuskan kekecohan.

“Serang orang tak siasat dulu acah-acah pegawai imigresen, ‘kan dah ke dalam (lokap). Padan muka! Malu dapat, sakit pun dapat,” katanya menerusi hantaran di media sosial.

Beliau turut mendakwa telah menghubungi polis sebelum tiba di lokasi kejadian dan berlaku pertengkaran mulut dengan salah seorang suspek.

Menurutnya, suspek juga didakwa mengugut untuk membunuh adik iparnya sebelum orang awam campur tangan bagi meleraikan keadaan. Seorang daripada suspek dilaporkan berjaya melarikan diri.

Menerusi beberapa foto dikongsikan, pelbagai barangan di dalam kedai itu dilihat mengalami kerosakan sekaligus mengakibatkan kerugian besar kepada keluarga terbabit.

Ainun berkata, adiknya yang baru lapan hari melahirkan anak turut mengalami trauma akibat kejadian tersebut.

Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai supaya tidak membuat tuduhan atau andaian tanpa mendapatkan maklumat yang sah serta menyerahkan sebarang urusan penguatkuasaan kepada pihak berkuasa.

Sementara itu, polis Terengganu memaklumkan dua lelaki berusia 21 dan 23 tahun (gambar atas) direman tujuh hari oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, hari ini.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan (KK) kerana sengaja mendatangkan kecederaan menggunakan senjata atau alat berbahaya.

Difahamkan, mangsa yang berusia 30-an mengalami kecederaan di kepala, muka dan lengan menerima rawatan lanjut di Hospital Sultan Nur Zahirah (HSNZ).

BACA JUGA Annuar Musa jadi Pengarah Pilihan Raya Pas di Johor