PRN Johor, Sheikh Omar dakwa BN sasar Putrajaya melalui ‘Domino politik’?
Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bukan sekadar pertarungan untuk menentukan kerajaan negeri, sebaliknya dilihat sebagai sebahagian daripada strategi lebih besar Barisan Nasional (BN) untuk membina gelombang politik bagi kembali menguasai Putrajaya pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP, Sheikh Umar Bagharib Ali berkata, kemenangan di Johor menjadi langkah awal yang penting dalam usaha BN membentuk naratif bahawa gabungan itu kembali mendapat sokongan rakyat di seluruh negara.
Menurut beliau, strategi tersebut adalah untuk mencipta momentum kemenangan yang boleh merebak ke negeri-negeri lain sebelum akhirnya diterjemahkan di peringkat Persekutuan.
“Jika BN berjaya mencatat kemenangan besar di Johor dan Negeri Sembilan, momentum itu diharapkan dapat diperluaskan ke Melaka sebelum membuka laluan kepada pembentukan Kerajaan Persekutuan yang didominasi Umno,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berpandangan bahawa matlamat akhir PRN Johor bukan hanya untuk menguasai pentadbiran negeri, tetapi membina persepsi politik bahawa BN merupakan pilihan utama rakyat menjelang PRU.
Sheikh Umar turut merujuk kepada laporan temu bual akhbar Sin Chew Daily bersama Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang dikatakan menggariskan perancangannya sekiranya diberikan mandat untuk menjadi Perdana Menteri.
Bagaimanapun, beliau berpendapat landskap politik Malaysia selepas 2018 jauh lebih kompleks dan dinamik berbanding era sebelumnya.
“Rancangan politik yang disusun di atas kertas tidak semestinya diterjemahkan secara langsung di peti undi,” katanya.
Menurut beliau, Umno sendiri masih berdepan cabaran dalaman termasuk kewujudan pelbagai fraksi yang berpotensi mempengaruhi hala tuju parti serta strategi politiknya.
Sehubungan itu, Sheikh Umar menegaskan bahawa PRN Johor perlu dilihat dalam konteks yang lebih luas kerana keputusan pilihan raya tersebut boleh menjadi petunjuk kepada percaturan politik nasional menjelang PRU akan datang.
Beliau berpandangan bahawa apa yang berlaku di Johor bukan sekadar soal pertukaran kerajaan negeri, tetapi kemungkinan menjadi medan awal kepada usaha BN membina momentum untuk kembali menguasai Putrajaya.
BACA JUGA Selepas singkir Bersatu, Pas kuasai medsos PN : Hantaran ‘bukan tuan rumah’ cetus tanda tanya?