RM73.8 Juta dilabur ubah wajah sekolah di Perlis

Perlis menerima suntikan besar dalam sektor pendidikan apabila Kementerian Pendidikan (KPM) memperuntukkan RM73.79 juta bagi melaksanakan 35 projek infrastruktur, termasuk pembinaan sekolah, naik taraf kemudahan dan penyelenggaraan institusi pendidikan di negeri itu.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, pelaksanaan projek tersebut melibatkan 10 projek baharu di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) Rolling Plan 1 (RP1) serta 25 projek sambungan yang sedang diteruskan.

Daripada keseluruhan projek itu, sebanyak 24 projek membabitkan pembinaan atau naik taraf, lima projek melibatkan perolehan tanah manakala enam lagi adalah bagi perolehan kelengkapan dan peralatan pendidikan.

Menurut beliau, sehingga 9 Jun 2026, kerajaan Persekutuan telah menyalurkan RM20.1 juta kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis bagi melaksanakan kerja penyelenggaraan dan baik pulih sekolah di seluruh negeri.

“Daripada jumlah itu, RM15.1 juta diperuntukkan bagi kerja penyelenggaraan serta pembaikan kerosakan infrastruktur termasuk yang berpunca daripada bencana alam seperti ribut dan insiden luar jangka sepanjang tahun ini,” katanya.

Selain itu, KPM turut memperuntukkan RM2.11 juta bagi menaik taraf bilik guru dan RM2.9 juta lagi untuk mengubah suai ruang sedia ada menjadi bilik darjah sebagai persediaan menerima kemasukan murid Tahun Satu pada 2027.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Bangunan Jabatan Pendidikan Negeri Perlis yang disempurnakan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Wong turut membawa berita positif mengenai projek Sekolah Sukan Malaysia (SSM) Perlis yang sebelum ini mengalami kelewatan akibat beberapa isu pelaksanaan.

Katanya, Fasa 1 projek tersebut kini sedang giat dilaksanakan dan dijangka siap pada Januari 2027, melibatkan baki kos penyiapan sebanyak RM55.5 juta.

Fasa itu merangkumi pembinaan blok pentadbiran, blok akademik yang menempatkan 12 bilik darjah, asrama pelajar lelaki dan perempuan, dewan makan, trek sintetik lapan lorong, padang bola sepak serta pelbagai kemudahan sukan mengikut piawaian.

“Saya yakin apabila diserahkan kepada JPN Perlis untuk beroperasi kelak, sekolah ini akan menjadi pemangkin kepada pembangunan bakat sukan pelajar di samping merancakkan ekonomi setempat,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan telah meluluskan RM104 juta lagi di bawah RMK13 RP1 bagi pelaksanaan Fasa 2 pembangunan SSM Perlis.

Fasa kedua itu akan menyediakan tambahan 12 bilik darjah bersama pelbagai fasiliti sokongan, dengan pembinaannya akan dimulakan sebaik sahaja Fasa 1 siap sepenuhnya.

Pelaburan berterusan dalam infrastruktur pendidikan itu dilihat sebagai sebahagian usaha kerajaan memperkukuh akses kepada kemudahan pembelajaran yang lebih berkualiti, moden dan kondusif untuk pelajar di Perlis.

BACA JUGA Suara rakyat kini di kain rentang, di mana tindakan Kerajaan Terengganu?