Soi Lek beri amaran akibat kalau pengundi Cina ‘lalai’

Bekas Presiden MCA, Tan Sri Dr Chua Soi Lek memberi amaran bahawa Pas boleh berkuasa di Putrajaya walaupun tanpa sokongan nasional meluas jika pengundi Cina memboikot pilihan raya atau sengaja merosakkan kertas undi.

Menurut pemimpin veteran BN berusia 79 tahun itu, Pas mungkin dapat merampas kuasa di persekutuan sekiranya masyarakat Cina tidak keluar mengundi terutama di kawasan majoriti Cina atau kawasan sengit.

“Saya katakan Pas boleh berkuasa secara ‘lalai’,” katanya, lapor FMT, yang merujuk ‘lalai’ itu sebagai tindakan pengundi Cina memboikot pilihan raya atau membuat undi rosak.

Bekas Menteri Kesihatan dan mantan Ahli Parlimen Labis itu berkata, peratusan keluar mengundi rendah dalam kalangan pemilih Cina akan mengubah imbangan sokongan di kawasan campuran dan marginal sekaligus menguntungkan Pas serta sekutunya.

“Di kawasan majoriti Cina atau di kawasan marginal yang mempunyai jumlah pengundi Cina yang signifikan, (jika) orang Cina memboikot, manakala orang Melayu keluar mengundi dan mereka semua mengundi Pas, mereka (Pas) akan berkuasa,” katanya lagi.

BACA JUGA Asatizah teruja janji Ketua Pengarah JKOM baharu ajak mereka masuk media kerajaan