Umno sedang gali kubur untuk kedua kalinya
PANDANGAN Oleh NORMAN RADZUAN
Seorang rakan dari Umno lewat malam tadi menghubungi saya untuk berjumpa. Katanya, “Aku ada terbaca tulisan kau, aku nak beritahu sesuatu!”
Saya memenuhi jemputan kawan lama dari zaman belajar lagi walaupun keletihan. Hebatnya persahabatan kami walaupun sejak 1998 saya memilih untuk bersama perjuangan DS Anwar, kami tetap berkawan seperti dahulu.
Orang yang bijak, tahu membezakan erti kawan dan perbezaan politik diketepikan.
Kawan saya ini ada sebab untuk dia terus bersama Umno kerana dia seorang kontraktor. Tapi hatinya jauh lebih putih dari mereka yang berkopiah putih.
Keluhannya membuat saya hiba…
“Aku nak beritahu, sebenarnya ramai rakan aku dari Umno tidak bersetuju untuk berpisah dengan PH apatah lagi untuk bersama Pas.
“Kami selesa walaupun PM bukan presiden kami. Kami akui orang PH adalah golongan intelektual yang ‘ngam’ atau enjoy untuk berborak.
“Sebagai orang berniaga dan bekas pelajar ekonomi… mahu tak mahu aku dengan kawan-kawan kena terima Anwar Ibrahim seorang pemimpin yang hebat… kami akui there is no denying Anwar political skills and influence.”
“Kelmarin aku dan kawan-kawan dari Umno berborak, penat la nak berkawan dengan Pas nanti. Boleh hancur balik ekonomi.
“Kembali balik ke politik perkauman dan agama ektrimis. Kami sebenarnya menyampah duduk sekali dengan orang Pas… pemikiran mereka memang buat kau rasa macam rugi belajar kat universiti…”
Itu antara perbualan santai malam tadi.
UMNO TEAM B
Baiklah, saya secara peribadi terkejut, walaupun tahu ia bukan kemahuan Zahid Hamidi, apa yang berlaku di Negeri Sembilan dan Johor. Dia terpaksa hadapi situasi pimpinan Umno di dalam team B yang tidak mahu move on.
Sebab itu saya tidak mengkritik Zahid Hamidi atau Umno keseluruhannya. Sukar untuk menulis apa sebenar yang berlaku tapi saya yakin suatu hari nanti andaikata Anwar tewas ketika melawan kuasa kapitalis ini…pasti akan berlaku pada jenerasi mendatang, mereka pasti mencari kebenaran atas apa yang berlaku pada hari ini.
Bila anak-anak muda sudah celik, semakin ramai yang bijak (critical thinking) bahawa negara yang kaya ini tidak boleh dirompak untuk dinikmati golongan Mahakaya… Malaysia akan terus terbilang.
Tanya kepada saya… kesedihan apa yang bakal berlaku, bukan tentang diri saya. Diri saya tidak penting tetapi yang saya kasihan melihat seorang insan yang berusia hampir 80 tahun memperhambakan dirinya untuk rakyat sejak diusia awal 20an lagi.
Dipenjara, dipukul, dibogelkan, diaibkan sebegitu rupa tapi walaupun dia jatuh, dia bangun semula, dia lawan… seperti katanya, “Kamu aibkan aku saban hari, aku maafkan… tapi kamu curi harta rakyat aku cari sampai dapat!”
APA SALAH ANWAR?

Apa salah Anwar? Dia bukan mencuri harta rakyat, malah gaji tidak ambil. Anak-anaknya tidak hidup kaya raya seperti anak perdana menteri lain. Hidupnya dan keluarga sungguh sederhana.
Dia bekerja tanpa bercuti, tanpa mencuri harta rakyat… semata-mata dengan sedikit usia dan kuasa yang tinggal, dia dapat melakukan sesuatu untuk negara.
Salahnya dia cuba amalkan prinsip Islam, kekayaan orang kaya mestilah diagihkan (sebagaimana melalui zakat) sebahagiannya untuk fakir miskin.
Dia cuba lawan rasuah di kalangan kapitalis-kapital yang mengawal politik negara.
Tapi kejamnya dunia ini. Golongan Mahakaya menggunakan kekayaan mereka menghulurkan dana kepada para NGO untuk menghasut orang miskin memerangi Anwar.
Kenapa Anwar diperangi? Sebab mereka tidak lagi mampu merompak harta rakyat, lebih dari itu bimbang dipenjarakan seperti para perasuah lain.
KASIHNYA ANWAR KEPADA UMNO
Yang paling saya rasa sedih, bila Anwar menjadi PM, kasihnya kepada Umno tidak pernah padam. Selepas menyelamatkan Umno dari diharamkan oleh Mahathir dan Muhyiddin, Anwar terus memberi peluang kepada Umno untuk bangkit semula.
Anwar berikan kementerian penting kepada Umno untuk menjaga hak-hak orang Melayu. Kementerian Luar Bandar, Mara, Miti, Pertahanan diberikan kepada Umno untuk pulihkan keyakinan orang Melayu.
Anwar bila berkawan dia tidak akan khianati kawannya. Malah dia begitu percayakan kawan-kawan tanpa ada syak wasangka.
Dia dikhianati Mahathir, dikhianati Hadi Awang, dikhianati Muhyiddin, Anwar tidak pernah serik. Bagi Anwar, rakannya adalah sepertinya, jujur dalam persahabatan.
Anwar bekerja keras untuk selamatkan ekonomi negara. Begitu banyak pelaburan hingga berbillion di bawa ke negeri Johor, tapi MB Johor khianati perpaduan yang dihulurkan Anwar.
Sayang, Umno mengambil jalan singkat untuk khianati keikhlasan yang diberikan. Sepatutnya Umno boleh bangkit semula, tiba-tiba Umno ambil jalan pintas untuk menumpang populariti Pas.
Sedangkan jalan pintas inilah yang telah banyak parti-parti sebelum ini terkorban seperti S46, Pakatan Rakyat, Umno (Muafakat Nasional) dan terbaru Bersatu.
Jika saya pernah meramalkan lima tahun dulu, Bersatu bakal dikhianati, percayalah 3-4 tahun mendatang Umno sekali lagi bakal dikhianati.
Kenapa? Kerana kejayaan Umno nanti bukan kerana hebatnya Umno tetapi hanya menumpang populariti Pas. Mana mungkin parti yang menguasai 73 MP tunduk kepada 30 MP.
Atas kertas seolah-olah dilihat Umno berikan nyawa kepada Pas tetapi tanpa Umno sedari, mereka seperti parti-parti lain yang pernah dikhianati Pas, kerjasama dengan Pas hanya menguntungkan atau terus memberikan kekuatan kepada Pas.
Pastinya nasib Umno akan ditinggalkan kerana Umno tidak membina kekuatan sendiri tetapi hanya sekadar penumpang. Ketika itu nanti, begitu mudah Pas mengkhianati Umno.
Umno akan kembali melawan Pas? Mana mungkin Umno mampu melawan Pas ketika itu. Umno sendiri dilihat sebagai parti yang anti bangsa lain, khianat dalam persahabatan yang membuatkan rakyat sangat curiga untuk menerima kembali Umno.
Hasil perkahwinan Umno dan Pas nanti, Melayu luar bandar dimiliki Pas, Melayu bandar dimiliki PKR, Cina dan India bersama DAP.
Pendek kata orang Melayu menolak Umno, apatah lagi pengundi bukan Melayu yang tidak lagi percaya apabila Umno dilihat bersama Pas sebuah parti ekstrim yang anti dengan bangsa Cina berdasarkan kepada kempen politik mereka.
Umno akan kehilangan segala galanya dan sebagai penganalisis politik saya berpandangan Umno sedang menggali kuburnya sendiri buat kedua kali.
BACA JUGA Bersatu bakal ambil alih semula pengurusan PN termasuk jawatan pengerusi?