Agong tarik gelaran Tan Sri dari Isa Samad
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim telah memperkenankan penarikan balik kurniaan Darjah Panglima Setia Mahkota yang membawa gelaran Tan Sri kepada Datuk Mohd Isa Abdul Samad berkuatkuasa pada 8 Jun 2026.
Jabatan Perdana Menteri dalam kenyataan berkata, penarikan balik ini kerana beliau telah disabitkan bersalah dan sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Sungai Buloh, Selangor.
“Penarikan balik kurniaan ini adalah selaras dengan Statut Darjah Yang Mulia Setia Mahkota Malaysia perenggan XXV dan XXVIA yang menyatakan darjah kebesaran boleh ditarik balik jika disabitkan dengan sesuatu kesalahan.
“(Ia juga susulan) titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berhubung penarikan balik darjah kebesaran sempena Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan pada 7 September 2024 di Istana Negara,” kata kenyataan itu.
Mohd Isa sedang menjalani hukuman penjara enam tahun selepas Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari lalu membenarkan rayuan pendakwaan untuk mengetepikan keputusan membebaskan beliau dan mengembalikan sabitan rasuah, hukuman penjara serta denda terhadapnya.
Mohd Isa mula menjalani hukuman penjara sejak 10 Februaru lalu selepas Mahkamah Persekutuan mengembalikan sabitan rasuah dan hukuman penjara serta denda terhadapnya.
Bekas menteru besar Negeri Sembilan itu disabitkan kesalahan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2021 dan dijatuhi hukuman penjara enam tahun serta denda RM15.45 juta.
Dia kemudian dibebaskan sepenuhnya oleh Mahkamah Rayuan pada 2024.
Mahkamah Persekutuan kemudian membenarkan rayuan pendakwaan terhadap pembebasan Isa, dengan memutuskan Mahkamah Rayuan tidak sepatutnya mengganggu keputusan Mahkamah Tinggi.