PN Pahang boleh tutup kedai?
Slogan “PN Teraju Pahang” yang selama ini menjadi antara tema utama kempen pembangkang di negeri itu kini dipersoalkan selepas Pas memutuskan hubungan politik dengan Bersatu, sekali gus mencetuskan tanda tanya mengenai masa depan Perikatan Nasional (PN) di Pahang.
Pengerusi Badan Perhubungan Barisan Nasional (BN) Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, perpecahan dalam gabungan pembangkang itu dijangka menyukarkan lagi usaha mereka untuk menawan Pahang pada pilihan raya akan datang.
Menurut beliau, laluan yang sebelum ini dicanang sebagai misi untuk menerajui negeri kini semakin rumit selepas keputusan Pas menamatkan kerjasama politik dengan Bersatu.
“Saya dapati usaha mereka yang mereka uar-uarkan nampaknya menghadapi jalan yang complicated. Jalan yang berliku-liku dan ini berlaku setelah mereka menolak Bersatu dalam PN,” katanya.
Beliau secara sinis turut mempersoalkan sama ada slogan “PN Teraju Pahang” masih relevan dalam keadaan gabungan itu berdepan krisis dalaman.
“Sama ada PN Teraju Pahang itu sudah boleh ‘tutup kedai’, yang itu kita boleh buat tafsiran sendirilah,” katanya.
Memetik laporan Malaysiagazzete, Wan Rosdy berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Inisiatif Makmur Pahang – Buku Rujukan dan Latihan SPM, STPM dan STAM 2026 di Sekolah Menengah Kebangsaan Felda Purun, Bera.
Kenyataan itu hadir beberapa hari selepas Pas mengumumkan keputusan menghentikan hubungan politik dengan Bersatu, sekali gus mengubah landskap politik pembangkang menjelang pilihan raya akan datang.
Walaupun begitu, Pas Pahang dilihat masih mempertahankan jenama yang dibina sebelum ini.
Semalam, Ketua Dewan Pemuda Pas Pahang, Zulfadli Zakariah berkata seluruh jentera pemuda parti di negeri itu akan memberikan komitmen sepenuhnya untuk menjayakan Misi Pas Teraju Pahang.
Pada masa sama, Pas Pahang turut memaklumkan bahawa mereka akan terus menggunakan slogan “PN Teraju Pahang” walaupun hubungan politik antara Pas dan Bersatu telah berakhir.
Perkembangan itu sekali gus mencetuskan persoalan mengenai bentuk kerjasama serta identiti politik Perikatan Nasional di Pahang selepas perubahan besar dalam hubungan antara dua parti teras gabungan tersebut.
BACA JUGA RENCANA : Bukan sekadar bertahan, PMX, Kerajaan Perpaduan sedang mengubah landskap Malaysia?