Ratu Naga dakwa dia yang bersihkan imej Pas
Ketika hubungan politik antara Pas dan Bersatu berdepan kemelut sehingga membawa kepada keputusan Pas menghentikan kerjasama politik dengan parti itu, aktivis politik dan pempengaruh media sosial, Ratu Naga atau nama sebenarnya Syarul Ema Rena Abu Samah, tampil dengan dakwaan bahawa golongan moderatlah yang sebenarnya membantu mengubah persepsi masyarakat terhadap Pas.
Menurut beliau, penyokong setia Pas bukanlah pihak yang berjaya memperbaiki imej parti itu, sebaliknya individu-individu yang sebelum ini berada di luar lingkungan penyokong tradisional Pas.
“Daripada dulu hingga hari ini, siapa yang bersihkan imej Pas? Bukan korang. Sebab korang orang yang sama sokong Pas daripada dulu hingga hari ini,” katanya dalam satu video tular.
Beliau berkata, masyarakat yang sebelum ini tidak cenderung kepada Pas, termasuk golongan yang sering dilabel sebagai liberal atau moderat, telah memberi keyakinan kepada orang ramai bahawa parti itu boleh diterima dalam arus politik negara.
“Siapa yang bersihkan Pas? Orang macam saya. Orang yang tak pakai tudung macam saya. Saya beritahu saya undi Pas sebab saya tak takut Pas, jadi orang nampak Pas itu baik,” katanya.
Menurut Ratu Naga, golongan seperti dirinya telah membantu mengubah persepsi awam terhadap Pas, sedangkan penyokong tegar parti itu hanya mengekalkan sokongan yang sedia ada.
“Kami yang moderat. Kami yang buat orang suka dan menerima Pas. Orang Pas daripada dulu sampai sekarang sama saja, imej mereka tidak berubah. Siapa yang elokkan imej korang? Orang macam kami,” katanya lagi.
Kenyataan itu muncul ketika landskap politik pembangkang sedang bergolak susulan keputusan Pas menghentikan kerjasama politik dengan Bersatu selepas meneliti kedudukan dan hala tuju hubungan antara kedua-dua parti.
Pas memaklumkan ia mahu meneroka bentuk persefahaman politik dan kerjasama pilihan raya yang baharu, manakala Bersatu menyatakan rasa dukacita terhadap keputusan tersebut tetapi bertekad untuk terus memperkukuh Perikatan Nasional.
Pandangan Ratu Naga dilihat cuba mengimbas kembali tempoh sekitar 2020 hingga 2021 apabila Pas mula diterima oleh sebahagian pengundi di luar kelompok penyokong tradisinya, dengan beliau mendakwa perubahan persepsi itu banyak dipengaruhi oleh sokongan daripada kelompok yang sebelum ini tidak dikaitkan dengan parti berkenaan.
BACA JUGA Istana Seri Menanti umum pewaris gelaran penting, Tunku Zain kini Tunku Panglima Besar