DAPSY mahu lebih ramai calon berjiwa anak muda dalam PRN Johor dan Negeri Sembilan

FOTO BERITA: Majlis Makan Malam Media sempena Perayaan Aidiladha bersama Ketua Pemuda DAP Wong Kah Leong anjuran DAPSY Malaysia di De.Wan 1958 by Chef Wan, The Linc, Jalan Tun Razak, KL. 11hb Jun 2026 (Khamis)

Pemuda DAP Malaysia (DAPSY) menegaskan keutamaan parti itu menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan bukanlah menetapkan kuota calon muda semata-mata, sebaliknya memastikan calon yang diketengahkan mempunyai pemikiran dan jiwa yang dekat dengan aspirasi generasi muda.

Ketua DAPSY Malaysia, Wong Kah Leong berkata, calon yang dipilih tidak semestinya terdiri daripada golongan pemuda dari segi umur, namun perlu memahami dan memperjuangkan isu-isu yang memberi kesan langsung kepada anak muda seperti peluang pekerjaan, pendidikan serta perumahan mampu milik.

“Keutamaan kita bukan soal berapa ramai calon DAPSY atau berapa peratus calon muda yang dihantar. Yang penting setiap calon mempunyai pemikiran dan jiwa anak muda serta mampu membawa isu-isu yang dekat dengan generasi muda,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Media sempena Aidiladha anjuran DAPSY Malaysia di De.Wan 1958 by Chef Wan, The Linc, Jalan Tun Razak, di sini malam tadi.

Mengulas mengenai pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, Wong berkata tindakan tersebut dibuat bagi mengembalikan mandat kepada rakyat selepas berlakunya ketidaktentuan politik susulan dakwaan cubaan menjatuhkan kerajaan negeri melalui kerjasama beberapa pihak.

Menurut beliau, situasi tersebut berpotensi menjejaskan pentadbiran negeri sekiranya tidak diselesaikan melalui pilihan raya baharu.

“Dalam keadaan ketidakstabilan politik yang berlarutan, rakyat perlu diberi peluang menentukan semula kerajaan yang mendapat mandat mereka. Sebab itu pembubaran DUN Negeri Sembilan perlu dilaksanakan,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menyifatkan situasi di Johor berbeza kerana kerajaan negeri tidak berdepan krisis politik yang sama, namun mendakwa pembubaran awal DUN dibuat atas pertimbangan politik tertentu.

Wong turut merujuk kepada kadar keluar mengundi yang lebih tinggi semasa Pilihan Raya Umum ke-15 berbanding PRN Johor 2022, yang menurutnya memberi kelebihan kepada Pakatan Harapan (PH).

Beliau berkata, cabaran utama PH dalam menghadapi pilihan raya akan datang adalah memastikan kadar keluar mengundi kekal tinggi bagi membolehkan lebih ramai rakyat menzahirkan pilihan mereka.

Dalam ucapannya, Wong turut menyuarakan pandangan bahawa PH perlu mempertimbangkan untuk bertanding menggunakan identiti sendiri pada Pilihan Raya Umum ke-16 bagi membolehkan gabungan itu menawarkan agenda reformasi secara lebih jelas kepada rakyat.

“Apabila kita tampil dengan identiti sendiri, rakyat boleh menilai secara langsung sama ada kita berjaya menunaikan janji dan agenda reformasi yang dibawa,” katanya.

Beliau turut menyentuh mengenai kebebasan media di bawah Kerajaan MADANI dan menyifatkan hubungan antara kerajaan serta pengamal media kini lebih terbuka berbanding sebelum ini.

Menurutnya, media perlu terus memainkan peranan penting dalam menyampaikan maklumat kepada rakyat tanpa tekanan politik, sekali gus membantu memperkukuhkan amalan demokrasi dan kebebasan bersuara di negara ini.

Majlis makan malam tersebut diadakan sebagai tanda penghargaan DAPSY kepada pengamal media, pempengaruh digital dan penggiat media sosial yang selama ini memainkan peranan dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat.