Etnik Rohingya diingatkan patuh undang-undang Malaysia, tindakan tegas menanti
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegur rakyat Myanmar terutama etnik Rohingya yang berlindung di negara ini supaya mematuhi undang-undang Malaysia.
Beliau berkata, kerajaan akan bertegas mengambil tindakan jika golongan ini tidak mematuhi peraturan termasuk berkaitan aktiviti perniagaan dan pembinaan bangunan.
“Nasihat kepada rakyat Myanmar, terutama Rohingya, mereka juga harus patuh kepada peraturan yang ada dalam negara kita.
“Bangunan dan perniagaan mesti mengikut peraturan. Kalau tidak ikut, kita terpaksa ambil tindakan. Tetapi saya harap, selagi undang-undang dihormati, kita akan terus bertegas dalam perkara ini,” katanya kepada media selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Hidayah, Sentul Pasar,
Mengulas desakan beberapa pihak supaya etnik Rohingya dihantar pulang, Perdana Menteri berkata, bukan sahaja Malaysia tetapi banyak negara lain yang berdepan cabaran sama untuk menghantar etinik Rohingya ini pulang ke Myanmar.
“Orang berbicara soal hantar pulang, hantar pulang, tetapi hendak hantar ke mana? Kita ada masalah dengan kerajaan Myanmar yang menghalang.
“Kita sedang mencari jalan untuk mereka ditempatkan di negara ketiga atau dihantar pulang, namun setakat ini usaha itu masih belum berhasil.
“Bukan sahaja Malaysia berdepan cabaran ini, malah Bangladesh juga menempatkan jutaan pelarian. Semalam di Jepun, saya juga bincang dengan Perdana Menteri Jepun (Sanae Takaichi) tentang hal ini.” katanya lagi.
BACA JUGA Pelik kenapa SPR kena tunggu keputusan PRN Johor dahulu baru buat PRN N9?