Ini bukan tebuk atap, tapi tebuk kapal, kata Mujahid
Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa menyifatkan tindakan pemimpin Umno yang menarik sokongan terhadap kerajaan Negeri Sembilan sehingga mencetuskan ketidakstabilan politik bukan lagi “tebuk atap”, sebaliknya lebih tepat digelar sebagai “tebuk kapal”.
Beliau berkata, tindakan tersebut bukan sahaja menjejaskan pentadbiran kerajaan negeri, malah mengundang huru-hara politik ketika kerajaan sedang berfungsi dan meneruskan pentadbiran
“Saya tak setuju kalau anda menyatakan bahawa itu adalah tebuk atap. Tak betul. Itu bukan tebuk atap, itu tebuk kapal namanya.
“Kapal dah berlayar, macam mana ceritanya? Orang yang duduk di bawah kapal nak minum air terpaksa naik ke atas. Kemudian ada yang kata, takkan setiap kali nak minum air kena naik atas. Jadi dia ambil keputusan tebuk kapal dari bawah.
“Haa ambil satu kapal tenggelam. Itulah yang berlaku di Negeri Sembilan. Ini bukan soal cerdik, ini bebal. Rosak habis bahtera yang kita bina. Berlakulah huru hara. Kejap tarik, kejap sokong balik. Ini huru hara.,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan hari ini.
Mujahid turut membidas pihak yang cuba menjadikan isu adat sebagai alasan untuk menarik sokongan terhadap kerajaan negeri.
Menurut beliau, ketika Datuk Seri Mohamad Hasan menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan sebelum ini, pendirian yang diambil ialah tidak mencampuri urusan adat kerana ia bukan bidang politik.
“Isu asalnya soal adat tetapi telah diheret menjadi isu politik. Dulu ketika Tok Mat menjadi Menteri Besar, apabila timbul isu berkaitan adat, jawapannya jelas bahawa orang politik tidak campur tangan dalam urusan adat.
“Tetapi hari ini apabila Datuk Seri Aminuddin Harun mengambil pendirian yang sama, tiba-tiba ia dijadikan alasan untuk menyerang kerajaan dan menarik sokongan,” katanya.
Mujahid berkata, wujud kontradiksi apabila di peringkat Persekutuan, Umno berkata soal perpaduan, tetapi di peringkat negeri pula sibuk menebuk kapal.
“Di Persekutuan kita jadi kawan. Di Negeri Sembilan kita lawan. Dulu kita lawan sekarang kita jadi kawan. Kejap-kejap kawan kejap lawan. Ini kontradiksi.
“Kita kena tolak politik bebalism. Pada satu masa dia cakap nak perpaduan, pada masa sama dia tebuk kapal. Pada satu masa dia cakap pasal perpaduan ummah dan Melayu, tapi di sana sini sebar fitnah,” ucapnya lagiÂ
BACA JUGA ‘Ketika ekonomi sedang baik, kita dikhianati sahabat’ – Aminuddin