MN 2.0? Puad beri amaran: ‘Jangan kahwin mutaah dalam politik’
Ketika spekulasi mengenai kemungkinan Muafakat Nasional (MN) 2.0 kembali menjadi perbincangan susulan perpisahan Pas dan Bersatu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mengingatkan partinya supaya tidak terburu-buru membuat percaturan politik.
Beliau menyifatkan sesetengah bentuk kerjasama politik sebagai “kahwin mutaah”, iaitu hubungan yang boleh berakhir pada bila-bila masa apabila objektif politik tidak lagi sehaluan.
“Dalam politik ada yang suka kahwin mutaah. Boleh cerai bila-bila masa jika objektif tidak tercapai. Umno wajar berhati-hati,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Kenyataan itu hadir ketika timbul pelbagai spekulasi bahawa hubungan Umno dan Pas mungkin dihidupkan semula melalui apa yang digelar pemerhati politik sebagai Muafakat Nasional 2.0, selepas Pas memutuskan kerjasama politik dengan Bersatu.
Bagaimanapun, sehingga kini tiada sebarang pengumuman rasmi mengenai usaha menghidupkan semula pakatan tersebut.
Untuk rekod, Muafakat Nasional merupakan piagam kerjasama politik yang dimeterai oleh Umno dan Pas pada September 2019 ketika Pakatan Harapan mentadbir kerajaan Persekutuan.
Ketika itu, gabungan tersebut dilihat sebagai usaha menyatukan kekuatan politik Melayu-Islam dengan matlamat menghadapi pilihan raya secara lebih tersusun.
Namun, kerjasama itu mula mengalami keretakan apabila Bersatu membentuk kerajaan Perikatan Nasional pada 2020 dan Pas memilih untuk bersama gabungan tersebut, sekali gus mewujudkan pertindihan kerjasama antara Umno dan Bersatu.
Perbezaan strategi politik serta persaingan kerusi akhirnya menyebabkan Muafakat Nasional gagal diteruskan sebagai sebuah pakatan yang berfungsi.
Perbincangan mengenai kemungkinan MN dihidupkan semula semakin rancak selepas Pas mengumumkan penamatan hubungan politik dengan Bersatu.
Ada pihak melihat perkembangan itu membuka ruang kepada penyusunan semula blok pembangkang, manakala pemerhati lain berpandangan hubungan Umno dan Pas masih dibayangi pengalaman lalu yang menyebabkan Muafakat Nasional berakhir.
Malah, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Selasa telah menolak kemungkinan menghidupkan semula Muafakat Nasional.
Beliau menegaskan bahawa Umno tidak mempunyai niat dan tidak berhasrat untuk mengembalikan kerjasama politik tersebut.
Kenyataan Zahid itu sekali gus memberi isyarat bahawa, sekurang-kurangnya buat masa ini, idea Muafakat Nasional 2.0 lebih banyak berlegar sebagai spekulasi politik berbanding satu agenda yang sedang dirundingkan secara rasmi.
Sindiran Puad mengenai “kahwin mutaah” pula dilihat sebagai peringatan bahawa pengalaman lalu menunjukkan sesuatu kerjasama politik yang dibina atas kepentingan jangka pendek berisiko berakhir apabila kepentingan tersebut berubah.
BACA JUGA Pengundi Cina lesu, bukan sebab sokong PN?