SEKPUR serah memorandum pertahan Institusi Diraja Negeri Sembilan, tolak campur tangan politik

FOTO BERITA: Majlis Serahan Memorandum Solidariti oleh Mej B Razali Zakaria Setiausaha Agung SEKPUR mempertahankan Institusi Diraja dan menghormati mandat rakyat di Istana Hinggap, Seremban, Negeri Sembilan. 12hb Jun 2026 (Jumaat)

Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat Malaysia (SEKPUR) hari ini menyerahkan memorandum solidariti kepada Istana Hinggap Negeri Sembilan sebagai tanda sokongan dan taat setia kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir.

Memorandum yang diserahkan oleh Setiausaha Agung SEKPUR, Mej B. Razali Zakaria itu menegaskan komitmen rakyat Negeri Sembilan untuk mempertahankan institusi diraja, adat pepatih serta menghormati mandat pemerintahan beraja yang menjadi tunjang kestabilan negeri.

Menurut beliau, memorandum tersebut mengandungi tiga perkara utama yang menjadi pendirian SEKPUR dan rakyat yang menyokong institusi diraja Negeri Sembilan.

“Pertama, kami menzahirkan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku sebagai penaung tertinggi adat dan agama Negeri Sembilan. Kami akan terus berdiri teguh di belakang Tuanku sebagai rakyat yang setia dan patuh,” katanya ketika berucap selepas penyerahan memorandum.

Beliau berkata, perkara kedua adalah menjunjung tinggi konsep keindukan institusi Yang di-Pertuan Besar sebagai pemerintah tertinggi negeri yang berperanan menyatukan rakyat dan memastikan kestabilan serta kedaulatan Negeri Sembilan terus terpelihara.

Sementara itu, perkara ketiga dalam memorandum berkenaan ialah penolakan terhadap sebarang tindakan pemecatan atau usaha yang didakwa tidak mematuhi Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.

Menurutnya, isu tersebut tidak sepatutnya timbul sekiranya tiada campur tangan pihak tertentu yang didakwa cuba mempengaruhi masyarakat demi kepentingan politik masing-masing.

“Selama ini Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan tidak pernah menimbulkan sebarang masalah. Namun kini timbul usaha mempertikaikan kedudukan baginda sehingga mencetuskan kekeliruan dalam kalangan rakyat,” katanya.

Beliau turut mendakwa terdapat individu dan pihak tertentu yang menggunakan media sosial untuk menyebarkan hasutan serta menimbulkan perpecahan berkaitan institusi diraja negeri itu.

Sehubungan itu, beliau memaklumkan bahawa laporan polis telah dibuat dan menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan serta mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang didapati menyebarkan fitnah atau hasutan yang boleh menggugat keharmonian negeri.

“Kita tidak mahu isu ini terus berlarutan sehingga menjejaskan perpaduan rakyat dan mencemarkan institusi adat serta pemerintahan beraja Negeri Sembilan,” katanya.

Razali turut menyeru rakyat Negeri Sembilan agar terus bersatu mempertahankan institusi diraja yang sah serta menolak sebarang usaha yang boleh menggugat kestabilan dan kedaulatan negeri.

Beliau menegaskan bahawa solidariti yang dizahirkan melalui memorandum tersebut adalah sebagai tanda sokongan kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan usaha mempertahankan warisan adat serta sistem pemerintahan yang telah sekian lama menjadi identiti negeri berkenaan.