DBKL perkukuh ekosistem larian Kuala Lumpur melalui townhall bersama komuniti pelari

FOTO BERITA: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terus memperkukuh komitmennya dalam mempromosikan gaya hidup sihat dan aktif menerusi penganjuran Sesi Townhall bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, yang menghimpunkan pengurus acara larian serta wakil kelab-kelab pelari dari Kuala Lumpur dan Lembah Klang. Turut hadir pada sesi tersebut ialah Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri TPr Fadlun Mak Ujud. (Gambar: Unit Media DBKL)

Penganjuran sesi townhall itu bertujuan mendapatkan pandangan, maklum balas serta cadangan daripada komuniti pelari mengenai pembangunan ekosistem aktiviti larian dan rekreasi di ibu negara yang kini semakin mendapat sambutan dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi muda.

Aktiviti larian kini bukan lagi tertumpu kepada taman awam atau kawasan perumahan semata-mata, malah telah berkembang menjadi sebahagian daripada budaya hidup sihat yang memanfaatkan ruang awam dan laluan bandar secara lebih meluas.

Sesi dialog tersebut menjadi platform penting untuk membincangkan pelbagai isu, cabaran dan keperluan yang dihadapi komuniti pelari, sama ada bagi aktiviti larian harian mahupun penganjuran acara berskala besar pada waktu siang dan malam.

Antara perkara yang diberi perhatian termasuk aspek keselamatan laluan larian, kesesuaian dan kebolehcapaian kemudahan awam, keberkesanan penganjuran acara larian di Kuala Lumpur serta cadangan penambahbaikan terhadap infrastruktur yang menyokong gaya hidup aktif.

DBKL berkata, sesi itu turut mencerminkan usaha berterusan pihak berkuasa tempatan dalam menghidupkan ruang awam melalui aktiviti sihat dan berimpak positif yang mampu memperkukuh interaksi sosial serta meningkatkan kesejahteraan komuniti bandar.

Selain itu, program KL Car Free Morning yang dianjurkan setiap Ahad terus dilihat sebagai antara inisiatif utama DBKL dalam menggalakkan penyertaan masyarakat dalam aktiviti rekreasi dan riadah di samping mengoptimumkan penggunaan ruang awam secara lebih inklusif.

Melalui pendekatan libat urus bersama komuniti, DBKL yakin pelbagai cadangan yang diketengahkan dapat membantu memperkasakan pembangunan ekosistem larian yang lebih selamat, mesra pengguna dan mampan untuk semua lapisan masyarakat.

Komitmen berterusan daripada kerajaan, pihak berkuasa tempatan, penganjur acara dan komuniti pelari diyakini mampu menjadikan Kuala Lumpur sebuah bandar raya yang lebih sihat, aktif, selamat dan berdaya huni selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.
