PH tawar kestabilan, tolak politik ‘Tebuk Kapal’ – MUJAHID

FOTO BERITA: Ucapan Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa sempena Majlis Pelancaran Jentera Pilihanraya Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim Pengerusi Pakatan Harapan (PH) di Karisma Arena, Seremban Negeri Sembilan. 12hb Jun 2026 (Jumaat)

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa menyifatkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan dan Johor sebagai satu referendum rakyat untuk memilih kestabilan politik serta menolak budaya politik yang mencetuskan kecelaruan dan ketidaktentuan.

Mujahid berkata, rakyat perlu memahami cabaran era pasca normal yang dibincangkan dalam buku Membangun Negara MADANI karya Anwar Ibrahim, yang menurutnya menggambarkan realiti politik dan sosial negara yang semakin kompleks serta memerlukan kepimpinan berprinsip dan berwawasan.

Mujahid memulakan ucapannya dengan merujuk kepada buku Membangun Negara MADANI tulisan Anwar Ibrahim yang menurutnya menjadi kerangka reformasi dan hala tuju Kerajaan MADANI dalam mengurus cabaran negara pada era pasca normal yang semakin kompleks.

“Negara kita berdepan pelbagai cabaran dan kerumitan. Kita pernah melalui pandemik COVID-19 yang turut mengheret negara ke dalam krisis politik. Hari ini, kita berdepan pula dengan kecelaruan politik yang menjejaskan kestabilan kerajaan,” katanya. Beliau turut mengulas perkembangan politik di Negeri Sembilan yang menurutnya berpunca daripada pihak tertentu yang cuba mempolitikkan isu berkaitan institusi adat dan istana sehingga mencetuskan ketidakstabilan politik negeri.

Menurutnya, ketika isu berkaitan Adat Perpatih timbul pada era pentadbiran terdahulu, kerajaan ketika itu mengambil pendirian untuk tidak campur tangan kerana menghormati institusi adat. Namun, beliau mendakwa perkara sama kini dijadikan alasan untuk menarik sokongan terhadap kerajaan negeri.

“Kalau ada yang menyebut tindakan ini sebagai ‘tebuk atap’, saya katakan ia lebih tepat disebut sebagai ‘tebuk kapal’. Kapal yang sedang belayar dengan baik ditebuk dari dalam sehingga membahayakan seluruh penumpangnya,” katanya disambut sorakan penyokong yang hadir. Mujahid berkata, tindakan menarik dan mengembalikan sokongan secara berulang-ulang telah mewujudkan suasana huru-hara politik yang tidak menguntungkan rakyat serta menjejaskan usaha pembangunan negeri.

Beliau turut menyentuh mengenai percanggahan politik yang berlaku apabila parti-parti tertentu bekerjasama di peringkat Persekutuan tetapi memilih untuk bertentangan di peringkat negeri, sekali gus menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat. Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat Negeri Sembilan dan Johor menjadikan pilihan raya negeri sebagai platform untuk menolak politik yang disifatkannya sebagai tidak konsisten serta mengembalikan mandat kepada gabungan yang menawarkan kestabilan dan hala tuju yang jelas.

“Jangan anggap pilihan raya ini hanya untuk Negeri Sembilan atau Johor semata-mata. Ia adalah referendum rakyat terhadap kecelaruan politik yang sedang berlaku dan peluang untuk memilih kestabilan demi masa depan negara,” katanya. Mujahid menegaskan bahawa Pakatan Harapan terus berpegang kepada prinsip politik berasaskan nilai, integriti dan perpaduan masyarakat majmuk, selain menolak politik kebencian berteraskan kaum dan agama.

Beliau turut menyeru seluruh jentera Pakatan Harapan daripada PKR, DAP dan AMANAH supaya bekerja sebagai satu pasukan bagi mempertahankan prinsip perjuangan dan memastikan kemenangan dalam pilihan raya negeri.
