PRN Negeri Sembilan peluang rakyat hukum pengkhianat mandat – Aminuddin

FOTO BERITA: Ucapan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun sempena Majlis Pelancaran Jentera Pilihanraya Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan sempena oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim Pengerusi Pakatan Harapan (PH) di Karisma Arena, Seremban Negeri Sembilan. 12hb Jun 2026 (Jumaat)

Aminuddin berkata, sepanjang dua penggal mentadbir Negeri Sembilan, kerajaan pimpinan PH telah membuktikan keupayaannya membangunkan negeri menerusi pentadbiran yang berteraskan perpaduan, muafakat dan kerjasama antara pelbagai kaum.

“Inilah kekuatan Pakatan Harapan. Kita membawa penyatuan masyarakat, perpaduan pelbagai kaum dan agama serta membina negeri ini dengan semangat kebersamaan. Hasilnya dapat dilihat sepanjang lapan tahun pentadbiran yang lalu,” katanya.

Menurut beliau, walaupun kerajaan negeri berdepan ujian politik yang membawa kepada pembubaran Dewan Undangan Negeri, keadaan itu perlu dilihat sebagai peluang untuk memperkukuh lagi kesatuan dan kekuatan PH. “Kita sedang bergerak laju membangunkan negeri, tetapi terpaksa berhenti seketika untuk mendapatkan semula mandat rakyat. Kita serahkan kembali kuasa kepada rakyat untuk menentukan hala tuju Negeri Sembilan,” katanya.

Aminuddin mendakwa krisis politik yang berlaku berpunca daripada tindakan pihak tertentu yang mengkhianati kepercayaan dan kestabilan kerajaan ketika negeri sedang mencatatkan prestasi baik dalam bidang ekonomi, pelaburan dan pembangunan sosial. Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat Negeri Sembilan supaya membuat pilihan yang tepat pada hari pengundian dan memberikan sokongan kepada PH untuk meneruskan agenda pembangunan negeri.

“Saya yakin rakyat mampu menilai. Jika apa yang telah kita lakukan selama ini memberi manfaat kepada rakyat, maka inilah masanya untuk mereka memberikan sokongan semula kepada Pakatan Harapan,” katanya. Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan seluruh jentera pilihan raya PH supaya terus bekerja keras dan menerima keputusan parti berhubung pemilihan calon demi memastikan kemenangan gabungan tersebut.

“Siapa sahaja calon yang dipilih oleh parti mesti kita sokong. Jangan sesekali kita mengkhianati parti hanya kerana kepentingan individu. Kita tidak mahu melihat apa yang berlaku kepada kerajaan negeri turut berlaku dalam jentera kita sendiri,” tegasnya. Beliau berkata seluruh jentera PH perlu memperkukuh gerak kerja di semua kawasan serta menyampaikan mesej kepada rakyat mengenai kepentingan memilih sebuah kerajaan yang stabil dan tidak mudah digugat oleh permainan politik.

Aminuddin turut menggesa rakyat keluar mengundi dalam jumlah yang besar pada 1 Ogos nanti sebagai tanda penolakan terhadap tindakan yang mencetuskan ketidakstabilan politik di negeri itu. “Kita mahu peratusan keluar mengundi yang tinggi. Inilah peluang rakyat menunjukkan pendirian mereka dan mengajar mereka yang mengkhianati mandat rakyat tentang makna sebenar demokrasi,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tetap hadir memberikan sokongan kepada PH Negeri Sembilan meskipun baru pulang daripada lawatan rasmi ke Jepun. Menurutnya, hubungan erat antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri Sembilan perlu terus diperkukuhkan demi memastikan lebih banyak manfaat pembangunan dapat dinikmati rakyat.

Mengakhiri ucapannya, Aminuddin menyeru seluruh jentera dan penyokong PH supaya terus bekerja keras, memperkukuh saf perjuangan dan menghadiahkan kemenangan kepada Pakatan Harapan demi menjamin masa depan Negeri Sembilan yang lebih stabil, maju dan sejahtera.