Zahid kata tak timbul isu pengkhianatan oleh Umno Negeri Sembilan

Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menafikan dakwaan Umno Negeri Sembilan berlaku khianat sehingga mendorong kepada pembubaran DUN.

Beliau sebaliknya berkata, Umno kekal menyokong kerajaan negeri sehingga tamat penggal.

“Tidak timbul pengkhianatan kerana dukungan kita kepada kerajaan di Negeri Sembilan adalah sehingga akhir penggal,” katanya memetik Astro Awani.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Ilmuwan Asia Tenggara Keempat (The 4th Southeast Asian Scholars Conference 2026) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.

Sebelum ini 14 ADUN Umno secara tiba-tiba mengumumkan menarik sokongan dari kepimpinan Datuk Seri Aminuddin Harun susulan krisis membabitkan institusi adat dan perlembagaan negeri itu.

Pada hari sama juga, mereka memaklumkan sudah mempunyai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri bersama ADUN-ADUN Perikatan Nasional (PN).

Pun begitu hasrat untuk membentuk kerajaan tidak kesampaian apabila Aminuddin kekal Menteri Besar Negeri Sembilan, menyebabkan wakil rakyat Umno yang sebelumnya menarik sokongan dari MB, membuat u-turn mengatakan akan tetap bersama kerajaan negeri.

Perkembangan itu mencetuskan kritikan daripada beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) dalam ucapan pelancaran jentera pilihan raya PH Negeri Sembilan semalam yang melabel Umno negeri itu sebagai pengkhianat.

Ahmad Zahid menegaskan bahawa tiada sebarang unsur pengkhianatan apabila sesuatu penggal pentadbiran, sama ada di peringkat negeri atau nasional, telah berakhir.

Sebaliknya, beliau berkata keutamaan kini adalah mencari pendekatan terbaik bagi memperkukuh kedudukan parti dalam DUN dan Parlimen.

BACA JUGA Pemimpin agama, cendekiawan Islam, ulama, mufti 31 negara berhimpun di KL