Anthony Loke ‘refresh’ memori MB Johor, senarai 7 majlis yang pernah dihadiri

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, tampil membalas kenyataan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, dengan nada bersahaja namun disertakan senarai panjang majlis rasmi yang menunjukkan kerajaan negeri Johor sebelum ini pernah menghadiri pelbagai program anjuran Kementerian Pengangkutan (MOT).

Menerusi satu hantaran di media sosial, Anthony mengucapkan terima kasih kepada Onn Hafiz atas kenyataan balas yang “begitu panjang lebar” serta kesudian beliau menerima jemputan untuk menaiki perkhidmatan KTM Komuter Selatan.

“Terima kasih YAB Dato’ Onn Hafiz atas kenyataan balas yang begitu panjang lebar dan kesudian YAB menerima jemputan saya untuk menaiki KTM Komuter Selatan,” katanya sambil berseloroh.

Bagaimanapun, Anthony berkata beliau ingin “refresh” ingatan Menteri Besar Johor mengenai beberapa majlis MOT yang turut dihadiri sendiri oleh Onn Hafiz atau wakil Kerajaan Negeri Johor.

Beliau menyenaraikan beberapa program utama, antaranya Majlis RTS Link pada 11 Januari 2024 yang disaksikan Perdana Menteri Malaysia dan Perdana Menteri Singapura, di mana Onn Hafiz turut hadir.

Selain itu, beliau berkata Menteri Besar Johor juga menghadiri majlis menerima ketibaan tren pertama RTS Link di Singapura pada 30 Jun 2025, pelancaran khas ETS3 serta perasmian Stesen KTM Kluang oleh Yang di-Pertuan Agong pada 23 Ogos 2025, dan majlis penyempurnaan Projek Landasan Berkembar Gemas-Johor Bahru serta pelancaran ETS ke Johor Bahru pada 11 Disember 2025.

Anthony turut menyatakan bahawa pada 11 Mei 2026, pihak kementerian telah menjemput kerajaan negeri ke Majlis Peluncuran MyLesenB2 untuk pelajar sekolah di Johor Bahru, namun menurut beliau, tiada wakil kerajaan negeri yang hadir.

Beliau turut mengemukakan beberapa contoh lain yang melibatkan penyertaan wakil Menteri Besar atau Kerajaan Negeri Johor, termasuk Majlis Memorandum Persefahaman (MoU) Pembinaan Kluang Heritage Railway Linear Park pada 7 September 2023, lawatan kerja ke CIQ Kompleks Sultan Abu Bakar pada 11 Januari 2024 dan majlis pembukaan semula landasan Pasir Gudang-Kempas Baru pada 9 Mei 2025.

“Saya faham musim pilihan raya memang sibuk. Mungkin ada benda yang terlupa,” katanya secara berseloroh.

Anthony turut menjelaskan bahawa terdapat perbezaan antara lawatan kerja dan majlis rasmi, justeru beliau tidak mahu mengganggu masa Menteri Besar sekiranya hanya melibatkan lawatan kerja kementerian.

Pada masa sama, beliau memaklumkan surat jemputan rasmi akan dihantar dalam kadar segera bagi program KTM Komuter Selatan di Kulai dan turut mempelawa Onn Hafiz untuk menyampaikan ucapan pada majlis tersebut.

Sebagai penutup, Anthony mengingatkan bahawa Exco Pengangkutan Johor sendiri pernah menyertai sesi “dry run” Komuter Selatan pada 3 Mac 2026 sebelum perkhidmatan itu dimuktamadkan.

“Tak maklum MOT pun, tapi saya tak melatah,” katanya, disertakan dengan emoji sedih, sekali gus memberi sentuhan sinis terhadap polemik berkenaan.

BACA JUGA Netizen sinis dakwaan tokoh sertai Pas, ada yang sifatkan ‘bukan kejutan’