Anwar: Perpaduan tidak datang sendiri, mesti dipupuk
Perpaduan negara tidak boleh dianggap sebagai sesuatu yang akan kekal dengan sendirinya, sebaliknya perlu dipupuk secara berterusan melalui kebijaksanaan, kesabaran dan usaha yang konsisten, di samping menolak segala bentuk politik yang memecah-belahkan masyarakat.
Mesej itu ditegaskan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Kebangsaan di Kota Kinabalu, dengan mengingatkan bahawa sejarah membuktikan Malaysia mampu kekal aman dan stabil kerana kepimpinan terdahulu meraikan kepelbagaian sebagai satu kekuatan, bukannya kelemahan.
Menurut beliau, tokoh-tokoh seperti Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Tun Temenggong Jugah, Tun Mustapha Harun dan Tun Fuad Stephens telah meletakkan asas perpaduan yang kukuh sehingga negara berjaya dibangunkan dalam suasana masyarakat yang majmuk.
Beliau berkata, perpaduan hanya dapat dipertahankan sekiranya rakyat dan pemimpin terus mengamalkan kematangan, kewarasan serta kebijaksanaan dalam berpolitik dan menguruskan perbezaan.
“Semangat negara bangsa yang telah dibina dengan susah payah ini mesti terus diperkukuh berlandaskan rasa hormat, saling percaya dan kesediaan untuk meletakkan kepentingan negara mengatasi segala perbezaan dan kepentingan sempit,” katanya.
Anwar turut menegaskan bahawa kemajmukan masyarakat Malaysia bukan penghalang kepada kemajuan, malah menjadi sumber kekuatan yang membolehkan negara terus aman, stabil dan berdaya saing.
Beliau berpandangan hanya melalui perpaduan yang kukuh, Malaysia mampu meneruskan agenda pembangunan serta menghadapi pelbagai cabaran ekonomi dan geopolitik pada masa hadapan.
BACA JUGA ‘Musuh negara bukan kaum, tetapi pengkhianat dan perompak’ – Anwar Ibrahim