Bukan Arab Saudi atau Indonesia, Malaysia rupanya juara ekonomi Islam dunia
Ketika pelbagai pihak sering mempersoalkan kedudukan ekonomi negara, satu pengiktirafan antarabangsa sekali lagi meletakkan Malaysia di hadapan apabila muncul sebagai ekonomi Islam terbaik dunia bagi tahun 2025, mengatasi negara-negara seperti Arab Saudi, Indonesia dan Turkiye.
Berdasarkan laporan State of the Global Islamic Economy (SGIE) 2025/2026, Malaysia terus menduduki tangga pertama dalam Petunjuk Ekonomi Islam Global (Global Islamic Economy Indicator) dengan indeks skor 165.1, jauh meninggalkan Arab Saudi di tempat kedua dengan 100.9 mata dan Indonesia di tempat ketiga dengan 99.9 mata.
Turkiye pula berada di kedudukan kelapan dengan 64.0 mata, manakala Qatar melengkapkan kelompok 10 negara terbaik dengan 60.4 mata.
Lebih membanggakan, Malaysia telah mengekalkan kedudukan sebagai peneraju ekonomi Islam dunia selama 12 tahun berturut-turut, sekali gus membuktikan kekuatan ekosistem halal negara yang dibangunkan secara konsisten melalui kerjasama kerajaan, industri dan institusi kewangan.
Kejayaan itu bukan sekadar berdasarkan satu sektor tertentu, sebaliknya Malaysia berada di kedudukan teratas merentasi enam sektor utama ekonomi Islam, iaitu makanan halal, kosmetik halal, farmaseutikal, pelancongan mesra Muslim, fesyen sopan dan kewangan Islam.
Pencapaian tersebut turut disokong oleh prestasi perdagangan halal negara yang terus berkembang. Pada tahun 2025, Malaysia merekodkan eksport halal bernilai RM68.52 bilion, meningkat 10.9 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Perkembangan itu memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab halal global dan menunjukkan bahawa industri halal kini menjadi antara pemacu penting pertumbuhan ekonomi negara serta daya saing Malaysia di peringkat antarabangsa.
Penganalisis berpendapat kejayaan berterusan ini memberi kelebihan strategik kepada Malaysia dalam menarik pelaburan, memperluaskan pasaran eksport dan mengukuhkan pengaruh negara dalam industri ekonomi Islam global yang nilainya terus berkembang dari tahun ke tahun.
BACA JUGA Tak pernah dalam sejarah ketua pembangkang cuma bertahan 28 hari sahaja – Faiz