Hadi ‘supreme leader’, tentukan hala tuju PN?- Marzuki

Ketika krisis hubungan antara Pas dan Bersatu masih hangat diperkatakan, bekas Setiausaha Sulit Kanan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr Ahmad Marzuki Mohamad, sekali lagi melontarkan kritikan terhadap struktur kepimpinan Perikatan Nasional (PN) dengan mendakwa keputusan-keputusan penting gabungan itu sebenarnya ditentukan oleh Presiden Pas.

Kenyataan tersebut hadir hanya beberapa hari selepas Pas memuktamadkan keputusan memutuskan kerjasama politik dengan Bersatu, sekali gus mencetuskan pelbagai persoalan mengenai masa depan PN dan keseimbangan kuasa dalam gabungan pembangkang itu.

Sejak beberapa hari lalu, kedua-dua pihak saling mengemukakan penjelasan mengenai punca keretakan hubungan. Ahmad Marzuki sebelum ini turut mendedahkan bahawa Bersatu dikatakan bersedia meneliti tiga syarat yang dikemukakan Pas bagi mengekalkan kerjasama, namun Jawatankuasa Pas Pusat akhirnya tetap memutuskan hubungan politik dengan parti itu.

Terbaharu, beliau mendakwa dua keputusan penting melibatkan PN dibuat tanpa melalui Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) PN.

Menurutnya, keputusan melantik Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai Ketua Pembangkang serta keputusan membenarkan parti yang dipimpin Hamzah menggunakan logo PN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan tidak diputuskan oleh MT PN.

Lebih menarik, katanya, keputusan pertama itu bercanggah dengan keputusan terdahulu MT PN yang melantik Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, sebagai Ketua Pembangkang.

“Presiden Pas bukan Ahli MT PN, tetapi ‘berkuasa’ membuat keputusan PN,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.

Beliau bagaimanapun berkata beliau percaya Majlis Tertinggi PN akhirnya akan mengesahkan keputusan tersebut.

Menurut Ahmad Marzuki, keadaan itu menunjukkan kedudukan Pengerusi PN yang kini disandang Ahmad Samsuri bergantung kepada keputusan dan ihsan Presiden Pas.

Dalam nada sinis, beliau mendakwa Ahmad Samsuri seolah-olah telah “dipecat” sebagai Ketua Pembangkang di hadapan ribuan ahli Pas sebelum sempat memulakan tugas tersebut.

Beliau kemudian menyifatkan Presiden Pas sebagai “Supreme Leader” dalam menentukan hala tuju Perikatan Nasional.

Sindiran itu diteruskan apabila beliau berkata sekiranya PN membentuk kerajaan pada masa depan, wartawan tidak perlu lagi menunggu mesyuarat Kabinet di Putrajaya untuk mengetahui keputusan penting kerajaan.

“Apabila PN menjadi kerajaan kelak, wartawan tidak perlu menunggu di Putrajaya pada hari Rabu untuk mengetahui keputusan Kabinet. Tunggu saja di Rusila pada hari Jumaat,” katanya.

Kenyataan Ahmad Marzuki menambah lagi episod pertikaian terbuka dalam kemelut Pas-Bersatu yang sejak kebelakangan ini memperlihatkan perbezaan pandangan mengenai kepimpinan, hala tuju gabungan serta strategi menghadapi pilihan raya akan datang.

Rabu lalu, Pas membuat keputusan menamatkan kerjasama parti itu dengan Bersatu yang bernaung di bawah PN. 

BACA JUGA Belum panas lagi kerusi Samsuri, Hamzah dilantik semula ketua pembangkang