Malaysia perlu jadi ‘orkestra’ yang harmoni – Nga Kor Ming

Perbezaan kaum, agama dan pandangan politik tidak seharusnya menjadi alasan untuk memecah-belahkan masyarakat, sebaliknya perlu diraikan sebagai kekuatan yang mampu membawa Malaysia ke arah keamanan, kestabilan dan kemakmuran.

Mesej itu disampaikan ketika negara semakin menghampiri musim pilihan raya, dengan peringatan supaya rakyat tidak membiarkan perbezaan politik menjejaskan semangat perpaduan nasional.

Menurut Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, seperti sebuah orkestra yang memerlukan setiap alat muzik dimainkan secara harmoni untuk menghasilkan persembahan yang indah, rakyat Malaysia juga perlu terus bersatu dan bekerjasama demi kepentingan negara.

“Dalam sebuah negara yang dikurniakan kepelbagaian budaya dan masyarakat, kita mesti sentiasa menghormati serta memahami perbezaan antara satu sama lain. Jika kita saling bertelagah, negara tidak akan maju, sebaliknya hanya akan mengalami lebih banyak kerosakan dan ketidakstabilan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Taiping International Youth Marching Band Festival 2026 di Taiping hari ini.

Nga turut mengingatkan bahawa apabila negara semakin menghampiri pilihan raya, rakyat perlu menunjukkan kematangan dalam berpolitik dan menolak budaya kebencian.

“Walaupun mempunyai pandangan politik yang berbeza, kita perlu mengekalkan semangat hormat-menghormati dan perpaduan, sebagaimana pemuzik yang memainkan alat berbeza tetapi tetap menghasilkan satu persembahan yang harmoni untuk manfaat semua,” katanya.

Beliau turut menyifatkan kedudukan Malaysia sebagai antara 12 negara paling aman di dunia berdasarkan Indeks Keamanan Global sebagai satu pencapaian yang perlu dihargai dan dipertahankan.

Menurutnya, pencapaian itu membuktikan kestabilan dan keharmonian negara perlu terus dipelihara demi masa depan rakyat.

Mengulas mengenai festival berkenaan, Nga berkata penyertaan kumpulan pancaragam belia dari Malaysia, Jepun, Filipina, Indonesia dan Hong Kong membuktikan masyarakat daripada pelbagai budaya dan negara mampu hidup serta bekerjasama dalam suasana harmoni.

Katanya, muzik merupakan bahasa sejagat yang melangkaui batas kaum, agama, bahasa dan kewarganegaraan, sekali gus mampu membina persahabatan dan mengukuhkan hubungan antara komuniti.

Beliau turut menegaskan bahawa sebuah bandar bertaraf dunia tidak boleh diukur semata-mata melalui pembangunan ekonomi, sebaliknya perlu diperkaya dengan elemen seni, budaya dan muzik sebagai komponen penting dalam membentuk persekitaran yang berkualiti.

Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada penganjur, pendidik, sukarelawan, penaja dan rakan komuniti yang menjayakan festival antarabangsa itu sehingga mampu mempromosikan warisan Taiping serta kekayaan budaya Malaysia kepada dunia.

“Apabila muzik mampu menyatukan kita, maka kita perlu terus membina jambatan yang menghubungkan masyarakat dan bukannya membiarkan ada pihak yang cuba membina tembok yang memisahkan kita,” katanya.

BACA JUGA Bukan calang-calang, Bang Mat lancar operasi Meraque di Uzbekistan