RM300 Juta Diperuntukkan Naik Taraf PPR dan Perumahan Awam Kuala Lumpur Tahun Ini — Hannah Yeoh

FOTO BERITA: Lawatan Turun Padang bersama YB Puan Hannah Yeoh, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan). Turut dihadiri oleh YBhg. Datuk Seri TPr Fadlun Mak Ujud Datuk Bandar Kuala Lumpur serta YB Tuan Tan Kok Wai Ahli Parlimen Cheras ke Perumahan Awam Seri Sarawak dan Perumahan Awam Jalan Loke Yew Kuala Lumpur. 14hb Jun 2026 (Ahad)

Kerajaan melalui Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) memperuntukkan sebanyak RM300 juta bagi melaksanakan kerja-kerja penaiktarafan di Perumahan Awam (PA) dan Program Perumahan Rakyat (PPR) di seluruh Kuala Lumpur tahun ini, melibatkan kira-kira 60 lokasi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, peruntukan tersebut digunakan bagi melaksanakan pelbagai kerja penyelenggaraan dan penambahbaikan termasuk penurapan jalan, pengecatan semula bangunan serta penaiktarafan sistem pendawaian dan kabel elektrik demi memastikan keselamatan serta keselesaan warga kota.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan turun padang ke Perumahan Awam Seri Sarawak dan Perumahan Awam Jalan Loke Yew bersama Datuk Seri TPr Fadlun Mak Ujud serta Tan Kok Wai bagi meninjau kemajuan projek-projek yang sedang dilaksanakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Menurut Hannah, kerajaan mahu memastikan setiap peruntukan yang telah diluluskan dapat diterjemahkan kepada pelaksanaan projek yang cepat dan berkesan supaya manfaatnya dapat dirasai oleh penduduk dalam tempoh yang munasabah.

“Kita sudah meluluskan bajet dan kini ahli-ahli Parlimen turut memantau perbelanjaan melalui jawatankuasa yang ditubuhkan. Apa yang penting ialah kerja-kerja yang diluluskan pada awal tahun perlu dipercepatkan pelaksanaannya kerana kini kita sudah berada di pertengahan tahun,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa lawatan turun padang yang dilakukan secara berkala bertujuan memastikan projek-projek yang diluluskan benar-benar dilaksanakan mengikut jadual serta mencapai matlamat untuk meningkatkan kualiti hidup penghuni perumahan awam dan PPR.

“Kita mahu warga kota yang tinggal di PPR dan perumahan awam dapat merasai sendiri perubahan serta peningkatan kualiti kehidupan hasil daripada projek yang dilaksanakan,” katanya.

Selain aspek fizikal dan infrastruktur, Hannah berkata kerajaan turut memberi perhatian kepada kesejahteraan komuniti dengan menyediakan pelbagai program sosial dan kesihatan untuk penghuni.

Selain aspek fizikal dan infrastruktur, Hannah berkata kerajaan turut memberi perhatian kepada kesejahteraan komuniti dengan menyediakan pelbagai program sosial dan kesihatan untuk penghuni. Menurut beliau, Jabatan Wilayah Persekutuan kini membiayai program senamrobik percuma setiap minggu di kawasan perumahan terpilih bagi menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan penduduk.

“Kita bukan sahaja mahu mereka tinggal dalam persekitaran yang selesa dan selamat, tetapi juga mempunyai peluang untuk menyertai aktiviti sihat yang dapat meningkatkan kesejahteraan komuniti,” katanya. Dalam pada itu, beliau memuji tindakan DBKL yang berjaya mempercepatkan pelaksanaan projek-projek yang telah diluluskan kerajaan, sambil menegaskan bahawa pemantauan akan terus dilakukan bagi memastikan setiap projek mencapai standard yang ditetapkan.

Setakat ini, sebanyak 13 daripada kira-kira 60 lokasi yang menerima peruntukan penaiktarafan telah siap dilaksanakan, manakala selebihnya berada dalam pelbagai peringkat pelaksanaan dan pemantauan oleh DBKL. Hannah menegaskan kerajaan akan terus bekerjasama rapat dengan DBKL serta wakil rakyat tempatan bagi memastikan usaha menaik taraf kemudahan perumahan awam dapat diteruskan demi kesejahteraan dan kualiti hidup warga kota Kuala Lumpur.

Sementara itu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terus mempergiat usaha menaik taraf perumahan awam di ibu negara menerusi pelaksanaan pelbagai projek penyelenggaraan dan penambahbaikan infrastruktur yang memberi manfaat secara langsung kepada lebih 1,700 keluarga penghuni di Perumahan Awam (PA) Seri Sarawak dan PA Jalan Loke Yew. Lawatan itu memberi tumpuan kepada pelbagai projek utama yang telah dan sedang dilaksanakan bagi meningkatkan tahap keselamatan, keselesaan serta kualiti kehidupan penghuni.

Di Perumahan Awam Seri Sarawak yang menempatkan 768 unit kediaman, DBKL telah melaksanakan kerja-kerja transformasi visual dan infrastruktur melibatkan pengecatan semula bangunan serta turapan jalan dengan kos RM2.66 juta. Selain itu, sistem bekalan elektrik turut dipertingkatkan melalui penggantian janakuasa tunggusedia (genset) dan penaiktarafan sub-main cable dengan peruntukan RM2.5 juta. Bagi memperkukuh aspek keselamatan penghuni, kerja-kerja penggantian paip dry riser dan wet riser turut dilaksanakan dengan kos RM375,000 bagi memastikan sistem pencegahan kebakaran berada pada tahap terbaik.

Sementara itu, Perumahan Awam Jalan Loke Yew yang mempunyai 1,007 unit kediaman turut menerima pelbagai penambahbaikan termasuk kerja-kerja pengecatan semula bangunan bernilai RM4.14 juta. Sistem elektrik dan janakuasa pula dinaik taraf menerusi penggantian genset serta penaiktarafan sub-main cable dengan kos RM3.2 juta. Dalam masa yang sama, sistem keselamatan kebakaran di perumahan tersebut turut diperkukuh melalui penggantian paip dry riser dan wet riser yang melibatkan peruntukan sebanyak RM473,000.

Sepanjang lawatan, rombongan turut meninjau pelaksanaan kerja-kerja turapan jalan, pengecatan bangunan, penggantian sistem keselamatan kebakaran, penaiktarafan sistem bekalan elektrik serta kemudahan sokongan lain yang menjadi keperluan utama penghuni bagi memastikan setiap projek dilaksanakan mengikut jadual dan mencapai objektif yang ditetapkan.

Menurut DBKL, pelaksanaan projek-projek berkenaan bukan sahaja memberi wajah baharu kepada kawasan perumahan awam, malah meningkatkan tahap keselamatan, kebolehpercayaan sistem utiliti serta keselesaan penghuni dalam menjalani kehidupan seharian.

Selain projek penaiktarafan yang sedang dilaksanakan, DBKL juga meneruskan kerja-kerja penyelenggaraan berkala melibatkan jalan dalaman, taman permainan kanak-kanak, sistem pencahayaan, lif serta pengurusan aduan dan pemeriksaan berkala bagi memastikan semua kemudahan berada dalam keadaan baik dan berfungsi dengan sempurna.

Usaha berterusan ini mencerminkan komitmen DBKL dalam memastikan aset perumahan awam di Kuala Lumpur sentiasa dipelihara dan dipertingkatkan sejajar dengan keperluan semasa, sekali gus mewujudkan persekitaran kediaman yang lebih selamat, selesa dan berkualiti untuk dinikmati oleh seluruh warga kota.