‘Berjaya dicapai!’, AS-Iran isytihar operasi ketenteraan tamat serta-merta

Amerika Syarikat (AS) dan Iran mencapai perjanjian damai serta bersetuju menamatkan operasi ketenteraan secara ‘serta-merta dan kekal’ di semua wilayah termasuk di Lubnan.

Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif mengumumkan bahawa perjanjian damai itu telah dicapai dan majlis menandatangani perjanjian rasmi akan diadakan pada 19 Jun di Switzerland.

“Perjanjian damai antara Amerika Syarikat dan Republik Islam Iran telah BERJAYA DICAPAI.

“Kedua-dua pihak telah mengisytiharkan penamatan serta-merta dan kekal bagi semua operasi ketenteraan di semua medan, termasuk di Lubnan.

“Majlis menandatangani perjanjian secara rasmi akan diadakan pada Jumaat, 19 Jun di Switzerland,” katanya menerusi platform X pagi ini.

Dalam masa sama, Shehbaz mengucapkan penghargaan kepada AS serta Iran atas komitmen kedua-dua pihak dalam mencari penyelesaian diplomatik terhadap konflik yang berlarutan lebih tiga bulan itu.

“Kami juga ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada saudara kami yang terlibat dalam usaha mediasi ini, iaitu kepimpinan Negara Qatar, atas sokongan mereka dalam mencapai persetujuan ini.

“Kami turut merakamkan penghargaan khusus kepada kepimpinan berwawasan Kerajaan Arab Saudi dan Republik Türkiye (Turki) atas sumbangan besar mereka dalam menjayakan usaha ini,” katanya.

Shehbaz menambah pihak mediator akan memudah cara satu siri pertemuan sepanjang minggu ini.

“Perbincangan awal sebelum pelaksanaan ini akan menjadi asas kepada rundingan teknikal serta majlis menandatangani perjanjian rasmi,” katanya lagi.

BACA JUGA Gerakan tidak terkejut pengumuman Hadi