“Kami bayar habis, tapi tanah tak pernah jadi milik kami” – Kak Siti

FOTO BERITA: Seorang mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Kak Siti (bukan nama sebenar) tampil berkongsi pengalaman pahit apabila mendakwa menjadi mangsa penipuan dalam urusan pembelian lot tanah di Tasik Gelugor, Pulau Pinang yang telah berlanjutan lebih sedekad tanpa penyelesaian.

Seorang mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Kak Siti (bukan nama sebenar) tampil berkongsi pengalaman pahit apabila mendakwa menjadi mangsa penipuan dalam urusan pembelian lot tanah di Tasik Gelugor, Pulau Pinang yang telah berlanjutan lebih sedekad tanpa penyelesaian. Ketika sidang media yang dianjurkan Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Kak Siti menunjukkan dokumen berkaitan pembelian tanah sambil memegang kunci yang pernah diberikan oleh individu yang didakwa menjual lot tanah tersebut sebagai simbol harapan yang tidak kesampaian.

Ketika sidang media yang dianjurkan Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Kak Siti menunjukkan dokumen berkaitan pembelian tanah sambil memegang kunci yang pernah diberikan oleh individu yang didakwa menjual lot tanah tersebut sebagai simbol harapan yang tidak kesampaian. Menurut beliau, urusan pembelian tanah itu bermula pada tahun 2015 selepas diperkenalkan kepada seorang individu yang mengaku sebagai pemilik tanah dan menawarkan beberapa lot tanah pada harga yang dianggap berpatutan.

“Kami memang sedang mencari tanah untuk dibeli. Seorang kawan memperkenalkan kami kepada individu itu yang mendakwa dia pemilik tanah berkenaan. Kami pergi melihat sendiri lokasi tanah di Tasik Gelugor dan tertarik dengan tawaran yang diberikan,” katanya. Beliau berkata, penjual tersebut membenarkan bayaran dibuat secara ansuran selama dua tahun dan sering meminta bayaran tambahan atas alasan memerlukan wang segera, malah menawarkan diskaun tertentu kepada pembeli yang membuat bayaran lebih awal.

“Walaupun belum cukup tempoh dua tahun, kami sudah habis menjelaskan bayaran. Selepas itu kami mahu melihat sempadan tanah dan menggunakan tanah yang dibeli, tetapi pelbagai alasan diberikan. Dia berjanji akan membersihkan kawasan tanah dan menunjukkan lot masing-masing, namun janji itu tidak pernah ditunaikan,” katanya. Kak Siti berkata, titik perubahan berlaku apabila beliau bersama beberapa pembeli lain pergi ke kawasan tanah berkenaan dan bertemu dengan sepasang suami isteri yang memaklumkan bahawa tanah tersebut sebenarnya telah mempunyai pemilik.

“Mereka bertanya kami datang untuk apa. Bila kami tunjuk kawasan tanah yang kami beli, mereka kata semua tanah di situ sudah ada tuan dan tiada lot yang belum dijual. Dari situlah kami mula sedar ada sesuatu yang tidak kena,” katanya. Lebih mengejutkan, beliau kemudiannya bertemu dengan individu lain yang turut mendakwa sebagai pemilik sah tanah berkenaan.

“Dari situlah kami tahu ramai orang sudah mencari individu tersebut kerana menghadapi masalah yang sama. Kami percaya kami telah ditipu,” katanya. Menurut Kak Siti, usaha untuk mendapatkan penjelasan daripada penjual terbabit juga gagal apabila individu berkenaan sering menukar nombor telefon, mengelak pertemuan dan gagal menunaikan janji untuk memulangkan wang pembeli. Beliau turut mendakwa pernah diminta menarik balik laporan polis yang dibuat pada tahun 2018 dengan janji wang akan dipulangkan.

“Dia minta saya tarik balik laporan polis terlebih dahulu. Saya kata kalau benar mahu pulangkan wang, mari ke balai polis dan selesaikan di sana. Tetapi janji itu juga tidak ditunaikan,” katanya. Kak Siti menjelaskan bahawa hasil semakan mendapati tanah tersebut merupakan tanah geran kongsi dan individu yang menjual lot berkenaan hanya memiliki sebahagian kecil pegangan dalam geran tersebut. “Dalam geran itu ada ramai pemilik lain. Individu tersebut hanya salah seorang daripada pemilik bersama, tetapi dia didakwa menjual lot-lot tanah tanpa persetujuan pemilik lain,” katanya.

Beliau turut meluahkan rasa kecewa terhadap perkembangan siasatan selepas laporan polis dibuat pada 31 Ogos 2018. “Hampir lapan tahun berlalu tetapi jawapan yang kami terima masih sama, iaitu kes masih dalam siasatan. Kami sudah berkali-kali hadir mendapatkan maklumat, namun tiada perkembangan yang meyakinkan,” katanya. Menurut beliau, kali terakhir berjaya berhubung dengan individu terbabit adalah sekitar tahun 2021 selepas pandemik COVID-19 sebelum suspek terus menghilangkan diri.

Sehubungan itu, Kak Siti berharap pihak polis dapat mempercepatkan siasatan dan memberikan penyelesaian kepada mangsa-mangsa yang terlibat. “Kami bukan menunggu setahun dua, tetapi sudah lebih sedekad sejak membeli tanah ini dan hampir lapan tahun sejak laporan polis dibuat. Kami hanya mahu keadilan dan kepastian tentang nasib wang serta tanah yang kami beli,” katanya.