Malaysia kini No.1 Asia Tenggara, jadi pilihan 42 juta pelancong
Malaysia terus membuktikan kedudukannya sebagai destinasi pelancongan apabila merekodkan 42 juta ketibaan pelancong sepanjang 2025, sekali gus mencatat jumlah tertinggi di Asia Tenggara.
Pencapaian memberangsangkan itu meletakkan Malaysia di hadapan beberapa negara jiran yang selama ini dikenali sebagai hab utama pelancongan antarabangsa.
Laporan Asean Secretariat juga menunjukkan Thailand dan Vietnam masing-masing menduduki tangga kedua dan ketiga dengan jumlah pelancong mencecah 33 juta dan 21 juta.
Sementara itu, di tangga keempat dan kelima diduduki Singapura dan Indonesia dengan masing-masing menjadi pilihan 16 juta dan 14 juta pelancong sepanjang tahun lalu.
Rekod tersebut mencerminkan tahap keyakinan tinggi masyarakat antarabangsa terhadap kestabilan negara.
Malaysia juga menjadi pilihan dunia kerana memiliki kemudahan perjalanan yang semakin baik serta kepelbagaian budaya unik yang menjadi tarikan utama kepada pelancong asing.
Selain itu, keindahan alam semula jadi, destinasi pelancongan bertaraf dunia dan kemudahan infrastruktur moden terus menjadi faktor penting yang membantu Malaysia mengekalkan daya tarikannya di mata pelawat global.
Momentum positif daripada industri pelancongan di negara ini dilihat sekaligus merancakkan industri kecil dan sederhana, membuka lebih banyak peluang pekerjaan serta memperkukuh ekonomi domestik agar manfaatnya dapat dirasai secara lebih menyeluruh.
BACA JUGA El Niño bakal landa Malaysia, rakyat diminta bersedia hadapi cuaca panas ekstrem