Peruntukan RM2 bilion, kerajaan mahu 25,000 Bumiputera benar-benar merasai 

Kerajaan memberi penegasan bahawa agenda pemerkasaan ekonomi Bumiputera tidak boleh diukur berdasarkan jumlah program yang diumumkan, sebaliknya mesti dinilai melalui impak sebenar yang dirasai rakyat.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, perkara itu menjadi fokus utama Mesyuarat Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.

Menurut beliau, mesyuarat tersebut meneliti sasaran Pelan Transformasi Bumiputera 2035 (PuTERA35) selain memperincikan pelaksanaan pelbagai inisiatif melibatkan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC).

Beliau berkata, suntikan dana sebanyak RM2 bilion oleh GLIC pada tahun ini merupakan komitmen besar untuk memperkukuh ekosistem pembangunan syarikat Bumiputera melalui pelbagai program berimpak tinggi.

“Dana ini bertujuan memperkukuh ekosistem pembangunan syarikat Bumiputera melalui pelbagai program yang mampu meningkatkan daya saing dan kapasiti perusahaan tempatan,” katanya menerusi kenyataan di media sosial.

Shamsul Azri berkata, aspirasi kerajaan tidak hanya tertumpu kepada pertumbuhan syarikat Bumiputera semata-mata, malah turut memberi penekanan kepada pembangunan bakat dan modal insan.

Sehubungan itu, katanya, sasaran untuk memberi manfaat kepada lebih 25,000 peserta menerusi Program Pembangunan Vendor Bumiputera menjadi penanda aras penting bagi memastikan objektif program tersebut benar-benar dicapai.

Beliau menegaskan bahawa kejayaan agenda ekonomi Bumiputera akhirnya bukan bergantung kepada banyaknya inisiatif yang diumumkan, tetapi kepada hasil yang dapat dinikmati rakyat.

“Pada akhirnya, yang penting bukan jumlah program, tetapi hasil yang dirasai rakyat,” katanya.

BACA JUGA Pernah lawan hudud? AMANAH cabar Zaid pilih : Perlembagaan atau agenda Pas