Ucapan Anwar jadi pilihan editor Nikkei Asia, Malaysia makin diiktiraf dalam wacana geopolitik Asia
Ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Forum Future of Asia 2026 di Tokyo mendapat perhatian istimewa apabila dipilih sebagai fokus utama dalam ruangan Editor’s Choice oleh Nikkei Asia, antara penerbitan ekonomi dan perniagaan paling berpengaruh di rantau ini.
Dalam ulasan mingguan bertajuk “Leaders gather in Tokyo to warn of ‘unclear’ future of Asia”(“Para pemimpin berhimpun di Tokyo untuk memberi amaran mengenai masa depan Asia yang semakin tidak menentu.”), Ketua Pengarang Nikkei Asia, Akito Tanaka, meletakkan pandangan Anwar sebagai antara mesej paling signifikan mengenai cabaran geopolitik dan ekonomi yang sedang dihadapi Asia.
Tanaka menggambarkan forum yang memasuki tahun ke-31 penganjurannya itu berlangsung ketika masa depan Asia semakin tidak menentu akibat persaingan kuasa besar, ketegangan perdagangan global serta perubahan landskap ekonomi antarabangsa.
Menurut beliau, Anwar menegaskan bahawa perdagangan, dasar perindustrian dan rantaian bekalan kini semakin “dilihat melalui lensa persaingan dan bukannya manfaat bersama.”
Beliau turut memetik amaran Perdana Menteri bahawa perkembangan tersebut berisiko memecah-belahkan rantau Asia kepada beberapa blok yang saling bersaing, sekali gus menjejaskan kerjasama ekonomi yang selama ini menjadi pemacu pertumbuhan serantau.
Ulasan itu turut menyatakan bahawa Menteri Luar Filipina, Maria Theresa Lazaro, bersetuju dengan pandangan tersebut apabila menegaskan bahawa “keselamatan ekonomi ialah keselamatan negara”, manakala Anwar berpandangan trend semasa boleh membawa kepada pembentukan “lingkungan persaingan” yang memecahkan rantau ini.
Pemilihan ucapan Anwar sebagai tema utama ruangan editorial Nikkei Asia menunjukkan bahawa pandangan Malaysia mengenai isu geopolitik dan ekonomi kini mendapat perhatian di peringkat antarabangsa.
Berbanding sekadar membincangkan kepentingan nasional, Anwar mengangkat keperluan untuk memperkukuh kerjasama serantau, memastikan rantaian bekalan kekal terbuka serta menolak pendekatan ekonomi yang berasaskan persaingan kuasa semata-mata.
Nikkei Asia turut menggambarkan Asia sedang melalui tempoh ketidaktentuan, dipengaruhi oleh pendekatan dasar Amerika Syarikat, hubungan Washington-Beijing yang tidak stabil serta kebimbangan terhadap bekalan tenaga susulan krisis Iran.
Dalam masa yang sama, ketidaktentuan turut dirasai dalam pasaran saham Asia yang sebelum ini melonjak hasil ledakan kecerdasan buatan (AI), dengan volatiliti semakin meningkat di Jepun dan Korea Selatan.
Di sebalik cabaran tersebut, Nikkei Asia menampilkan mesej bahawa rantau ini masih mempunyai potensi besar untuk berkembang sekiranya negara-negara Asia terus memperkukuh kerjasama dan mengelakkan perpecahan geopolitik.
Hakikat bahawa ucapan Perdana Menteri Malaysia dijadikan antara fokus utama pilihan editor sebuah media ekonomi antarabangsa memperlihatkan peranan Malaysia yang semakin menonjol dalam perbahasan mengenai masa depan ekonomi dan kestabilan Asia.
Ia juga mencerminkan pengiktirafan bahawa suara Malaysia di bawah kepimpinan Anwar Ibrahim kini menjadi sebahagian daripada wacana strategik mengenai hala tuju rantau yang sedang berdepan cabaran global yang semakin kompleks.
BACA JUGA PRN Johor: Antara teruskan kesilapan Umno vs pulihkan negara