3,000 Kad Komuter MADANI percuma untuk rakyat Johor
Kerajaan hari ini melancarkan perkhidmatan Shuttle Selatan sebagai usaha memperkukuh rangkaian pengangkutan awam rel di Johor, termasuk peluasan laluan KTM dari Paloh ke Kulai serta pembukaan tiga stesen baharu di Pasir Gudang dan Johor Bahru.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pelaksanaan perkhidmatan itu dijangka meningkatkan mobiliti harian rakyat dengan menyediakan pilihan perjalanan yang lebih cekap, selamat dan menjimatkan masa.
Sempena pelancarannya, sebanyak 3,000 Kad Komuter MADANI Shuttle Selatan bernilai RM50 setiap satu turut diagihkan secara percuma kepada rakyat Johor bagi menggalakkan penggunaan pengangkutan awam.
Majlis pelancaran yang berlangsung di Stesen Keretapi Kulai itu turut dihadiri Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi.
Perkhidmatan Shuttle Selatan melibatkan dua laluan utama iaitu Kulai–JB Sentral–Kulai dan Kempas Baru–Pasir Gudang–Kempas Baru, sekali gus memberi manfaat kepada penduduk di Kulai, Kempas, Pasir Gudang dan Johor Bahru.
Menurut Anthony, inisiatif tersebut bukan sahaja memudahkan pergerakan harian rakyat, malah membantu menghubungkan kawasan perumahan, institusi pendidikan, pusat bandar serta hab ekonomi dan perindustrian utama di selatan tanah air.
BACA JUGA Bersatu macam ada dalam rumah tapi terkunci dalam bilik tidur