Dulu semua nafi, kini satu demi satu terbukti, adik Najib sendiri cari kebenaran skandal

Aktivis dan penulis, Fathi Aris Omar mengingatkan rakyat Malaysia tentang pentingnya perubahan politik yang berlaku pada Pilihan Raya Umum 2018, khususnya dalam membuka ruang kepada siasatan bebas terhadap skandal kewangan besar negara yang sebelum itu didakwa sukar disentuh.

Menerusi satu catatan di Facebook, beliau menyindir kelompok penyokong Datuk Seri Najib Razak, yang menurutnya suatu ketika dahulu menafikan pelbagai dakwaan berkaitan skandal kewangan melibatkan bekas Perdana Menteri berkenaan dan menganggap semua pendedahan sebagai fitnah pembangkang.

Fathi berkata, sepanjang tempoh sekitar 2015 hingga 2017, hampir setiap laporan berkaitan skandal berprofil tinggi itu disangkal, manakala pihak yang membongkarkan isu tersebut termasuk aktivis, media dan pemimpin pembangkang menjadi sasaran serangan serta tindakan undang-undang.

“Sedekad lalu untuk beberapa tahun, 2015 hingga 2017, Datuk Seri Najib Razak tidak pernah salah. Yang salah semuanya pembangkang, media dan aktivis.

“Penafian demi penafian demi penafian. Sebab itu, rakyat Malaysia ragui penafian. Mereka kata kalau tiada angin, masakan pokok bergoyang!

“Penyokong Najib serang semua orang yang bongkar skandal terbesar dunia ini. Aktivis dan pemimpin pembangkang diheret ke mahkamah,” tulis Fathi.

Tanpa tekanan

Menurutnya, perubahan kerajaan pada 2018 menjadi titik penting kerana ia membolehkan proses siasatan dijalankan secara lebih bebas.

Perubahan Kerajaan Persekutuan pada ketika itu juga memberi ruang kepada institusi kehakiman membuat keputusan tanpa tekanan politik serta membolehkan media melaporkan perkembangan kes tanpa rasa takut.

Beliau menegaskan rakyat berhak mengetahui kebenaran dan menuntut keadilan, sambil mengingatkan bahawa usaha membongkar skandal berkenaan bukan hanya digerakkan tokoh politik seperti Mahathir Mohamad atau media tertentu.

Malah, ujarnya, turut melibatkan individu dalam keluarga sendiri termasuk Tan Sri Nazir Razak yang pernah berusaha mencari kebenaran berhubung isu tersebut.

“Terimalah hakikat. Semua rakyat mahu lihat kebenaran dan keadilan. Yang desak bongkar skandal ini bukan Dr Mahathir dan akhbar The Edge sahaja. Bukan Sarawak Report dan WSJ (Wall Street Journal) sahaja.

“Tan Sri Nazir Razak, adik Najib, sendiri terlibat untuk cari kebenaran skandal memalukan ini. Ingat tu!” tegas Fathi lagi.

BACA JUGA Dua anggota tentera maut di Kedah: Agong zahir takziah