Malaysia milik semua kaum, Anwar tolak politik perpecahan di Muar

FOTO BERITA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa perpaduan antara kaum merupakan asas penting dalam membina masa depan Malaysia yang lebih adil dan makmur, sambil menolak politik perkauman yang hanya menguntungkan kelompok elit tertentu. (Gambar: SK)

Berucap pada Ceramah Umum Pakatan Harapan “Keadilan untuk Bangsa Johor” di kawasan parkir Restoran Yin Nan, Jalan Bakri, di sini malam tadi, Anwar berkata Malaysia adalah milik semua rakyat tanpa mengira kaum, agama dan wilayah.

Menurut beliau, setiap kaum di negara ini mempunyai cabaran dan masalah tersendiri yang perlu ditangani melalui semangat muafakat serta perbincangan yang matang, bukannya dengan menyemarakkan permusuhan dan kebencian.

“Negeri ini kita semua punya. Kalau tanya semua kaum, Melayu, Cina, India, Sabah dan Sarawak, masing-masing ada masalah dan rasa tidak puas hati. Jadi kita kena bincang sebagai kawan, bukan bermusuh,” katanya di hadapan kira-kira 2,000 hadirin yang hadir memeriahkan program tersebut.

Anwar berkata, Malaysia mempunyai kekayaan hasil bumi dan potensi ekonomi yang besar, namun rakyat masih berdepan masalah ketirisan serta pengagihan kekayaan yang tidak seimbang.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa Kerajaan MADANI komited memastikan hasil kekayaan negara dapat dinikmati secara adil oleh seluruh rakyat termasuk orang Melayu, Cina, India, Orang Asli serta masyarakat di Sabah dan Sarawak. Dalam pada itu, beliau turut mengkritik segelintir pihak yang sering memainkan sentimen kaum dan agama untuk meraih sokongan politik, sedangkan pada masa yang sama mengumpul kekayaan luar biasa sehingga mencecah berbilion ringgit.

“Masalah sebenar bukanlah kaum atau agama. Yang perlu kita tentang ialah ketidakadilan, rasuah dan penumpuan kekayaan kepada kelompok tertentu sehingga majoriti rakyat terus ketinggalan,” tegasnya.

Anwar yang berkongsi pengalaman panjangnya dalam dunia politik berkata beliau kini mahu seluruh rakyat memberi tumpuan kepada usaha membina negara secara bersama demi generasi akan datang.

Anwar yang berkongsi pengalaman panjangnya dalam dunia politik berkata beliau kini mahu seluruh rakyat memberi tumpuan kepada usaha membina negara secara bersama demi generasi akan datang.

Mesej perpaduan yang dibawa oleh Anwar mendapat sambutan positif daripada para hadirin yang terdiri daripada pelbagai latar belakang kaum, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan nilai hormat-menghormati, keadilan dan kebersamaan dalam masyarakat majmuk negara ini.