PDT Hulu Langat perjelas status perobohan rumah flat etnik Rohingya

Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Hulu Langat memaklumkan bahawa tindakan perobohan struktur binaan tanpa kebenaran di Kampung Baru Sungai Makau, Mukim Ulu Langat telah bermula pada 13 Jun lalu oleh pemilik tanah sendiri. 

Menurut kenyataan pegawai PDT, perobohan itu dimulakan terhadap struktur yang berada di atas rizab sungai dan rizab jalan.

Manakala kerja-kerja bagi struktur kediaman bertingkat masih menunggu kebenaran pihak berkuasa tempatan (PBT) terlebih dahulu bagi mematuhi aspek teknikal dan keselamatan.

“Pada 13 Jun 2026, pemilik tanah telah memulakan tindakan perobohan struktur-struktur berkaitan, bermula dengan struktur yang berada di atas rizab sungai dan rizab jalan terlebih dahulu. 

“Pemilik tanah akan mendapatkan kebenaran daripada Pihak Berkuasa Tempatan bagi merobohkan struktur bangunan kediaman bertingkat dengan mengambil kira aspek teknikal dan keselamatan yang perlu dipatuhi,” kata kenyataan itu.

PDT Hulu Langat berkata, pihaknya mengambil maklum akan keprihatinan rakyat berhubung perobohan struktur binaan tanpa kebenaran yang didiami etnik Rohingya di kawasan terbabit.

Menurutnya, isu ini telah dibangkitkan melalui Mesyuarat Penyelarasan Isu Berkaitan Struktur Binaan Tanpa Kebenaran di Kampung Baru Sungai Makau, Mukim Ulu Langat pada 10 Jun lalu. 

Mesyuarat dipengerusikan Pegawai Daerah Hulu Langat selaku Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Daerah yang turut dihadiri oleh Ahli Parlimen Hulu Langat, Ahli Dewan Negeri Dusun Tua serta agensi-agensi kerajaan yang berkaitan.

Mesyuarat tersebut telah membincangkan berkenaan tindakan penguatkuasaan yang telah diambil sehingga kini di bawah bidang kuasa agensi masing-masing serta tindakan-tindakan selanjutnya yang perlu dilaksanakan bagi maksud perobohan struktur binaan tanpa kebenaran tersebut.

“Untuk makluman, keluasan tapak struktur-struktur yang terlibat dianggarkan seluas 1,845 meter persegi merangkumi binaan struktur kediaman bertingkat serta beberapa unit struktur binaan 1 tingkat di atas tanah persendirian dan juga tanah kerajaan (rizab sungai dan rizab jalan).

“Selanjutnya, mesyuarat berkenaan turut dimaklumkan berkenaan anggaran kos siling bagi maksud perobohan tersebut berjumlah RM600,000 yang meliputi kerja-kerja

perobohan keseluruhan struktur, kerja-kerja pembersihan kawasan perobohan sertakerja-kerja membaik pulih tebing sungai yang terkesan,” kata PDT lagi.