DBKL siasat kejadian ikan mati di tasik taman Danau Kota

FOTO BERITA: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengambil tindakan segera susulan kejadian ikan mati yang dikesan di Tasik Taman Danau Kota baru-baru ini dengan melaksanakan siasatan awal dan pemantauan di lokasi bagi mengenal pasti punca kejadian serta langkah-langkah susulan yang perlu diambil. (Gambar: Unit Media DBKL)

DBKL dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa Tasik Taman Danau Kota bukan sahaja berfungsi sebagai kawasan rekreasi awam, malah turut berperanan sebagai kolam takungan banjir bagi kawasan sekitar. Menurut DBKL, kejadian ikan mati seperti itu pernah berlaku di beberapa tasik dan kolam takungan banjir di sekitar Kuala Lumpur, terutama selepas episod hujan lebat yang berterusan.

Air yang mengalir masuk ke tasik daripada kawasan tadahan sekitarnya lazimnya membawa sedimen, bahan organik, sampah serta bahan pencemar melalui sistem saliran sebelum memasuki tasik menurut kenyataan itu. Berdasarkan pemerhatian awal, kejadian tersebut dipercayai berpunca daripada hujan lebat berterusan yang menyebabkan penurunan kandungan oksigen terlarut (Dissolved Oxygen – DO), perubahan kualiti air serta kemasukan sedimen dan bahan pencemar ke dalam tasik.

Keadaan itu boleh memberi tekanan kepada hidupan akuatik dan seterusnya menjejaskan kelangsungan hidup ikan di kawasan berkenaan. Sehubungan itu, DBKL telah melaksanakan kerja-kerja pembersihan ikan mati bagi mengelakkan pencemaran air yang lebih serius, mengurangkan risiko kesihatan awam serta memastikan keselesaan pengunjung yang menggunakan kawasan rekreasi tersebut.

Sehubungan itu, DBKL telah melaksanakan kerja-kerja pembersihan ikan mati bagi mengelakkan pencemaran air yang lebih serius, mengurangkan risiko kesihatan awam serta memastikan keselesaan pengunjung yang menggunakan kawasan rekreasi tersebut. Selain itu, perangkap sampah turut dipasang di saluran masuk tasik bagi mengawal kemasukan sampah terapung dan bahan pencemar yang boleh menjejaskan ekosistem tasik.

Bagi mengenal pasti faktor sebenar yang menyumbang kepada kejadian itu, DBKL bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Wilayah Persekutuan telah menjalankan pensampelan air pada 16 Jun lalu untuk tujuan analisis kualiti air.

DBKL menegaskan bahawa pihaknya akan terus memantau keadaan Tasik Taman Danau Kota dan melaksanakan tindakan yang bersesuaian bagi memastikan kawasan rekreasi tersebut kekal selamat, bersih dan selesa untuk kegunaan warga kota.