Diesel turun 30 sen mulai esok, kerajaan terus tanggung subsidi RM3.5 bilion sebulan

Harga runcit diesel di Semenanjung turun 30 sen kepada RM4.37 seliter bagi tempoh 18 hingga 24 Jun 2026.

Sementara itu, harga petrol RON97 dan RON95 kekal masing-masing pada RM4.35 dan RM3.72 seliter.

Penurunan harga diesel itu adalah selaras dengan pergerakan purata harga pasaran antarabangsa minggu terdahulu berdasarkan formula Mekanisme Harga Automatik (APM).

Menurut Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan hari ini, bagi harga petroleum bersubsidi, harga RON95 di bawah program BUDI95 dikekalkan pada RM1.99 seliter bagi lebih 14 juta penerima yang layak.

Harga diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan pula kekal RM2.15 seliter.

Dalam masa sama, harga di bawah Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) dikekalkan pada RM2.05 seliter, manakala Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) kekal RM2.15 seliter.

MOF memaklumkan bahawa penggunaan 200 liter RON95 pada harga tanpa subsidi RM3.72 seliter menelan kos RM744.

Namun, jelas MOF, penerima BUDI95 hanya membayar RM398 bagi penggunaan sama menerusi harga subsidi RM1.99 seliter, sekali gus menikmati penjimatan sehingga RM346 sebulan.

Tanggungan subsidi

Turut dimaklumkan tanggungan subsidi kerajaan berdasarkan harga pasaran semasa masih diunjurkan tinggi, iaitu sekitar RM3.5 bilion sebulan, dengan subsidi RON95 dianggarkan RM2 bilion dan subsidi diesel RM1.5 bilion sebulan.

Menurut kenyataan itu, harga diesel tanpa subsidi RM4.37 seliter adalah lebih dua kali ganda berbanding harga diesel bersubsidi RM2.15 seliter, sekali gus membantu mengurangkan impak kos pengangkutan awam dan logistik barangan pengguna.

MOF memaklumkan Kerajaan MADANI memandang positif perkembangan terkini dalam konflik di Asia Barat, khususnya tanda-tanda ke arah penyelesaian yang berkekalan, yang telah menyumbang kepada penyederhanaan harga minyak mentah global berbanding paras tertinggi sebelum ini.

Menurut MOF, bagaimanapun masih terdapat beberapa risiko jangka pendek yang boleh mengekang penurunan harga minyak mentah dan produk petroleum ke paras prakonflik.

Ia termasuk ketidaktentuan berhubung pembukaan semula laluan perdagangan di Selat Hormuz, gangguan bekalan yang dijangka mengambil masa berbulan-bulan untuk pulih sepenuhnya serta risiko rundingan damai tidak mencapai penyelesaian muktamad.

Walaupun bekalan bahan api negara kekal mencukupi buat masa ini, menurut MOF, Kerajaan MADANI akan terus mengambil pendekatan berhemat dalam mengurus subsidi serta menyeru rakyat supaya mengamalkan penggunaan bahan api secara berhemat.

BACA JUGA Kemelut PN: MP pembangkang bermesyuarat malam ini