Puteri Wangsa bukan untuk PKR, AMANAH Johor tampil nafi dakwaan serah kerusi PRN

Parti Amanah Negara (AMANAH) Johor tampil menepis dakwaan bahawa parti itu telah bersetuju menyerahkan kerusi N41 DUN Puteri Wangsa kepada PKR bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.

Naib Pengerusi AMANAH Johor, Dr Zuhan Zain menegaskan parti itu tidak pernah membuat sebarang keputusan atau persetujuan untuk melepaskan kerusi berkenaan kepada mana-mana parti komponen lain dalam Pakatan Harapan (PH).

Menurut beliau, AMANAH Johor sejak awal telah menyusun gerak kerja dan menggerakkan jentera secara menyeluruh bagi mengambil semula serta mempertahankan kerusi Puteri Wangsa, yang sebelum ini dipinjamkan kepada Muda pada PRN Johor 2022 atas semangat kerjasama politik ketika itu.

Katanya, pihaknya mengambil maklum laporan media berhubung status kerusi berkenaan, namun tidak menolak kemungkinan berlaku salah tafsir atau penafsiran tidak tepat terhadap kenyataan yang dikeluarkan pihak tertentu.

“Sehingga hari ini, AMANAH Johor masih berpegang kepada semangat persahabatan dan kerjasama dalam Pakatan Harapan.

“Justeru, kami memilih untuk menangani sebarang perbezaan pandangan melalui saluran rundingan dan perbincangan dalaman, bukannya melalui polemik terbuka yang boleh menjejaskan hubungan antara parti-parti komponen,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau turut mengingatkan semua pihak agar tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan salah faham atau ketegangan tidak perlu ketika fokus utama gabungan sepatutnya tertumpu kepada usaha memperkukuh PH dan mendekati rakyat.

Dalam masa sama, beliau menegaskan jentera AMANAH di Puteri Wangsa terus aktif bergerak di lapangan dan DUN tersebut akan terus dipertahankan oleh AMANAH untuk PH.

Tambahnya, sebarang keputusan pembahagian kerusi hanya akan diputuskan melalui proses rundingan rasmi dalam gabungan.

BACA JUGA Politik ketakutan gagal, formula Kerajaan MADANI pulihkan negara