Anwar jumpa Putin, bincang AI, tenaga dan satu cadangan yang boleh ubah hubungan Malaysia-Rusia 

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan Presiden Rusia Vladimir Putin bagi membincangkan pelbagai bidang kerjasama strategik yang berpotensi memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Persekutuan Rusia.

Dalam pertemuan itu, Anwar terlebih dahulu menyampaikan salam daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, selain menzahirkan penghargaan atas layanan mesra dan penghormatan yang diberikan Rusia kepada Malaysia.

Menurut beliau, antara fokus utama perbincangan adalah usaha memperluaskan kerjasama ekonomi, khususnya dalam sektor tenaga yang disifatkan sebagai bidang strategik kepada kedua-dua negara.

“Saya menghargai ketetapan Persekutuan Rusia untuk memberikan kerjasama jangka panjang dalam aspek bekalan tenaga dan minyak,” katanya menerusi hantaran di media sosial.

Selain sektor tenaga, kedua-dua pemimpin turut bertukar pandangan mengenai peluang kerjasama dalam teknologi baharu, keselamatan siber, ekonomi digital, kecerdasan buatan (AI), pertanian moden dan industri farmaseutikal.

Anwar berkata perbincangan tersebut mencerminkan komitmen kedua-dua negara untuk meneroka bidang pertumbuhan baharu yang mampu memberi manfaat kepada rakyat dan ekonomi masing-masing.

Turut dibincangkan ialah usaha memudah cara pergerakan rakyat antara Malaysia dan Rusia melalui cadangan pemansuhan visa, selain meneroka mekanisme untuk memperluas perdagangan serta pelaburan dua hala menggunakan mata wang tempatan iaitu Ringgit dan Ruble.

Langkah itu dilihat selari dengan kecenderungan beberapa negara untuk mengurangkan pergantungan kepada mata wang asing dalam urusan perdagangan antarabangsa.

Dalam pertemuan sama, Anwar turut memuji pendirian Putin yang disifatkannya konsisten dan berprinsip dalam menyuarakan pandangan berhubung konflik di Gaza serta perkembangan melibatkan Iran.

Pertemuan tersebut berlangsung ketika Malaysia terus memperkukuh hubungan dengan pelbagai kuasa ekonomi dunia dalam usaha memperluaskan pasaran perdagangan, menarik pelaburan serta memperkukuh kerjasama dalam sektor berteknologi tinggi dan keselamatan tenaga.

BACA JUGA Pas rombak PN, singkir kumpulan Bersatu