KPDN tumpaskan sindiket penyelewengan minyak masak peket bersubsidi, rampasan cecah RM393,040

FOTO BERITA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berjaya membongkar satu rangkaian sindiket penyelewengan minyak masak peket bersubsidi menerusi tiga serbuan berasingan hasil risikan dan pemantauan Bahagian Penguat Kuasa KPDN dengan kerjasama pelbagai agensi penguatkuasaan. (Gambar: UKK KPDN)

Operasi yang dijalankan di dua premis di Seremban, Negeri Sembilan dan sebuah premis di Seri Kembangan, Selangor itu berjaya mengesan kegiatan penyimpanan serta pemprosesan minyak masak peket bersubsidi secara haram yang dipercayai telah beroperasi bagi mengaut keuntungan lebih tinggi melalui penjualan semula minyak bersubsidi. Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, hasil pemeriksaan mendapati premis-premis terbabit digunakan untuk menyimpan sejumlah besar minyak masak peket bersubsidi serta cecair disyaki minyak masak yang ditempatkan di dalam tangki IBC, tong simpanan dan pelbagai peralatan pemprosesan.

“Siasatan awal mendapati pengendali premis gagal mengemukakan lesen atau dokumen sah berkaitan aktiviti penyimpanan dan urus niaga barang kawalan berjadual seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya dalam satu kenyataan. Menurut beliau, modus operandi sindiket dipercayai melibatkan lapan jenama tempatan dan pembekal berlesen yang membekalkan minyak masak peket bersubsidi kepada sindiket sebelum produk tersebut dibawa ke premis haram untuk dipotong daripada bungkusan asal.

Minyak masak yang dikumpulkan kemudiannya disimpan dalam tangki IBC sebelum dipercayai dijual kepada pihak ketiga, termasuk pengusaha Used Cooking Oil (UCO), bagi memperoleh keuntungan lebih lumayan. Dalam operasi tersebut, pasukan penguat kuasa menyita pelbagai barangan termasuk minyak masak peket bersubsidi, cecair disyaki minyak masak, tangki IBC, pam, hos penyambung, forklift, lori, telefon bimbit, kotak pembungkusan dan pelbagai peralatan lain yang dipercayai digunakan dalam aktiviti penyelewengan berkenaan.

Secara keseluruhan, lebih 59,000 kilogram minyak masak dan cecair disyaki minyak masak berjaya dirampas dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM393,040. Selain itu, sembilan individu turut ditahan bagi membantu siasatan, terdiri daripada tiga warga tempatan dan enam warga asing. Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama Peraturan 3(1), Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana disyaki menjalankan urus niaga barang kawalan berjadual tanpa lesen yang sah daripada Pengawal Bekalan.

Datuk Azman menegaskan KPDN akan terus memperhebatkan tindakan penguatkuasaan bagi membanteras sebarang bentuk penyelewengan melibatkan barang kawalan dan bersubsidi. “Mana-mana pihak yang didapati terlibat akan dikenakan tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.
