Malaysia melonjak lagi, diangkat negara ke-15 paling berdaya saing dunia

Malaysia terus memperbaiki kedudukan dalam Ranking Daya Saing Dunia (WCR) 2026 apabila mencatat kenaikan ke tangga ke-15 tahun ini, melonjak lapan anak tangga berbanding kedudukan ke-23 pada tahun lalu.

Berbanding tahun 2024, Malaysia berada di tangga ke-34, sekali gus menyaksikan lonjakan sebanyak 19 anak tangga dalam tempoh dua tahun.

Pencapaian ini meletakkan Malaysia kembali berada dalam kelompok 20 ekonomi paling berdaya saing dunia dengan skor keseluruhan 81.91 mata.

Malaysia menduduki tempat kedua tertinggi di Asia Tenggara di bawah Singapura, yang berada di kedudukan teratas keseluruhan.

Dalam kalangan ekonomi Asia Pasifik, Malaysia berada di kedudukan kelima di belakang Singapura, Hong Kong, Taiwan dan China, namun mengatasi Australia, Korea Selatan, Thailand, Vietnam dan Jepun.

Penarafan ini berasaskan empat teras utama iaitu prestasi ekonomi, kecekapan kerajaan, kecekapan perniagaan dan infrastruktur.

Dari segi prestasi ekonomi, Malaysia memperoleh skor 78.4 mata dan berada di kedudukan keempat daripada 70 ekonomi, sama seperti tahun lalu.

Malaysia menyerlah dengan menduduki tempat keempat dunia bagi prestasi ekonomi, manakala kecekapan kerajaan meningkat 11 anak tangga ke kedudukan ke-14.

Kecekapan perniagaan turut mencatat lonjakan ketara sebanyak 16 anak tangga ke tempat ke-16, sementara infrastruktur bertambah baik dua anak tangga ke kedudukan ke-33.

Bagi subfaktor pula, ekonomi domestik Malaysia naik empat anak tangga ke kedudukan ke-11, manakala perdagangan antarabangsa kekal kukuh dengan peningkatan satu anak tangga ke tempat kelima dunia.

Pelaburan antarabangsa turut mencatat prestasi kukuh apabila melonjak tujuh anak tangga ke kedudukan ke-19, mencerminkan keyakinan pelabur yang semakin kukuh terhadap ekonomi negara.

BACA JUGA Mahiaddin kekal bersalah fitnah Guan Eng, ganti rugi dikurangkan kepada RM450,000