PRN Johor:  bukan soal siapa paling lantang?

Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dilihat bakal menjadi pentas penting yang menentukan naratif politik negara menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), dengan pengundi diberi peluang menilai sama ada politik berasaskan kerja lebih relevan berbanding politik yang bergantung kepada sentimen semata-mata.

Ahli Majlis Pimpinan PKR, Yuneswaran Ramaraj berkata, rakyat Johor kini bukan lagi sekadar pemerhati dalam gelanggang politik, sebaliknya bertindak sebagai “hakim” yang membuat penilaian berdasarkan prestasi, dasar, kemampuan serta integriti seseorang pemimpin.

Menurut beliau, landskap politik semasa menunjukkan rakyat semakin menolak retorik kosong dan lebih menghargai pemimpin yang mampu menyelesaikan masalah serta membawa hasil kepada masyarakat.

“Politik retorik tanpa pelaksanaan semakin hilang nilainya ketika era politik berteraskan kerja, keberhasilan dan penyelesaian sedang mengambil tempat.

“Pengundi hari ini semakin mengutamakan calon yang mempunyai orientasi perkhidmatan, mudah diakses, aktif membantu masyarakat serta mampu menjadi jambatan penyelesaian antara rakyat dan kerajaan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Ahli Parlimen Segamat yang juga Timbalan Menteri Perpaduan Negara itu berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke bilik gerakan PKR di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pemanis dan bertemu jentera parti yang sedang membuat persiapan menghadapi PRN Johor.

Menurut Yuneswaran, persoalan utama dalam pilihan raya kali ini bukan lagi mengenai siapa yang paling lantang berpidato atau mencipta polemik politik, sebaliknya siapa yang benar-benar mampu berkhidmat dan bekerja untuk rakyat.

“Dalam PRN Johor ini, persoalan besar bukan lagi siapa paling lantang bercakap tetapi siapa paling mampu bekerja untuk rakyat,” katanya.

PRN Johor dijangka menjadi medan ujian penting kepada parti-parti politik menjelang PRU16, khususnya dalam mengukur sejauh mana rakyat menerima pendekatan politik yang menekankan rekod pencapaian dan penyelesaian masalah berbanding retorik serta sentimen partisan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon bagi PRN Johor pada 27 Jun, manakala pengundian akan berlangsung pada 11 Julai selepas Dewan Undangan Negeri Johor dibubarkan pada 1 Jun lalu.

Johor mempunyai 56 kerusi DUN. Sebelum pembubaran, Barisan Nasional menguasai 40 kerusi, diikuti Pakatan Harapan (12), Perikatan Nasional (3) dan Muda (1).

BACA JUGA Kemelut PN: MP pembangkang bermesyuarat malam ini