12 Julai kita ke Kota Iskandar, Bang Mat laung isyarat keyakinan PH di Johor

Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu melahirkan keyakinan bahawa Pakatan Harapan (PH) mampu membentuk kerajaan negeri Johor selepas pilihan raya akan datang apabila secara terbuka melaungkan sasaran untuk menawan pentadbiran negeri itu.

“Macam di Johor, kita buat perubahan pada 11 Julai nanti, iaitu perubahan daripada kerajaan sekarang kepada kerajaan Pakatan Harapan.

“Insya-Allah 12 Julai kita akan pergi ke Kota Iskandar,” katanya yang disambut tepukan dan sorakan para hadirin.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya AMANAH Johor (Zon Selatan) yang berlangsung di Dewan KPIP, Jalan Kebangsaan 58, Taman Universiti, malam tadi.

Ucapan Mohamad atau lebih dikenali sebagai Bang Mat itu dilihat sebagai isyarat jelas keyakinan kepimpinan PH terhadap peluang gabungan berkenaan untuk merampas Johor daripada kerajaan sedia ada menerusi proses demokrasi.

Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa sebarang perubahan kerajaan perlu berlaku melalui pilihan raya dan mandat rakyat, bukannya melalui tindakan lompat parti atau pertukaran sokongan wakil rakyat selepas pilihan raya.

Mengimbau sejarah politik negara, Bang Mat berkata kestabilan politik sentiasa menjadi faktor penting dalam pembangunan Malaysia.

Menurutnya, selepas tragedi 13 Mei 1969, pimpinan negara ketika itu berjaya membina kerjasama politik yang lebih luas sehingga mewujudkan kestabilan yang berpanjangan.

Bagaimanapun, beliau menyifatkan perubahan kerajaan yang berlaku tanpa melalui proses pilihan raya selepas Pilihan Raya Umum ke-14 sebagai pengalaman yang kurang sihat untuk perkembangan demokrasi negara.

“Kalau nak buat perubahan, biarlah melalui proses pilihan raya,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan bakal calon AMANAH supaya kekal setia kepada mandat rakyat sekiranya dipilih dan tidak mengulangi budaya lompat parti yang pernah mencetuskan ketidakstabilan politik.

Pada masa sama, Bang Mat juga  menyeru seluruh jentera Pakatan Harapan supaya menerima keputusan pembahagian kerusi yang bakal diumumkan kepimpinan gabungan dan memberikan sokongan penuh kepada semua calon yang dipilih.

Katanya, sama ada calon itu daripada AMANAH, DAP atau PKR, seluruh jentera PH mesti bergerak sebagai satu pasukan demi memastikan kemenangan gabungan tersebut.

Beliau turut menegaskan bahawa kestabilan politik yang kukuh penting untuk memastikan keyakinan pelabur terus meningkat serta membolehkan negara berdepan cabaran ekonomi global, keselamatan makanan dan perubahan iklim dengan lebih berkesan.

BACA JUGA Maal Hijrah: JKOM perkukuh ukhuwah, himpun warga seluruh negara dalam doa dan solat hajat