Kerjasama politik perlu kejujuran, perkukuh jentera AMANAH – Aminolhuda
Kerjasama politik yang dibina tanpa kejujuran dan kesetiaan kepada mandat rakyat sukar untuk bertahan dalam jangka panjang, kata Pengerusi AMANAH Johor, Aminolhuda Hassan.
Beliau berkata pengalaman politik negara selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) membuktikan bahawa kekuatan sesebuah kerajaan tidak ditentukan oleh jumlah parti yang bergabung, sebaliknya bergantung kepada keikhlasan dan kesepakatan antara rakan politik.
“Kita perlu belajar daripada pengalaman lalu. Istilah perpaduan, kerjasama ataupun kesepakatan dalam kerajaan sangat penting, tetapi ia mesti disertai dengan keikhlasan bagi setiap parti yang terlibat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Amanah Johor (Zon Selatan) di Dewan KPIP, Jalan Kebangsaan 58, Taman Universiti, di sini.
Aminolhuda mengimbau bagaimana Pakatan Harapan bersama Bersatu berjaya membentuk kerjasama yang membawa kepada kemenangan pada PRU14 sehingga menamatkan penguasaan Umno di Johor.
Bagaimanapun, katanya, situasi berubah apabila Bersatu meninggalkan Pakatan Harapan dalam peristiwa yang dikenali sebagai Langkah Sheraton pada 2020.
“Apabila berlaku Langkah Sheraton disebabkan Bersatu meninggalkan Pakatan Harapan, maka berlaku perubahan kerajaan di peringkat Persekutuan.
“Selepas itu berlaku gabungan baharu membabitkan Bersatu, Pas dan Umno yang membentuk kerajaan,” katanya.
Menurut beliau, gabungan tiga parti yang mempunyai sokongan besar dalam kalangan orang Melayu itu sepatutnya memperkukuhkan kedudukan politik mereka.
Namun, katanya, perkembangan politik selepas itu menunjukkan bahawa gabungan semata-mata tidak menjamin kejayaan jika tidak disertai kesepakatan yang kukuh.
“Yang penting bukan sekadar jumlah parti yang bergabung, tetapi kejujuran dalam kerjasama dan kesetiaan kepada mandat yang diberikan rakyat,” katanya.
Aminolhuda berkata pengalaman tersebut harus menjadi pengajaran kepada semua pihak menjelang pilihan raya akan datang agar kestabilan politik dapat dipertahankan demi kepentingan rakyat dan pembangunan negeri.
Beliau turut menyeru jentera AMANAH supaya memperkukuhkan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan serta menerangkan kepada rakyat mengenai kepentingan kestabilan politik sebagai asas kepada kemajuan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat.
BACA JUGA Anwar dedah apa yang dapat selepas jumpa Putin