Pembangkang sibuk jatuhkan MADANI, PMX pula sibuk angkat nama Malaysia di pentas dunia
Oleh DR AZRIE AZEH
Dalam gelanggang dunia yang semakin berombak dengan persaingan kuasa besar, konflik geopolitik dan ketidaktentuan ekonomi, sesebuah negara tidak lagi mampu berdiri hanya dengan kekuatan fizikal atau angka-angka ekonomi semata-mata.
Sebaliknya, negara yang dihormati ialah negara yang mampu berbicara dengan hikmah, mendengar dengan kebijaksanaan dan bertindak dengan prinsip.
Bak kata pujangga, “angin tidak pernah memilih arah jika nahkoda gagal membaca bintang.”
Dalam konteks Malaysia hari ini, kepimpinan Perdana Menteri ke-10 (PMX), Datuk Seri Anwar Ibrahim, bersama Kerajaan MADANI dilihat berjaya mengemudi bahtera negara merentas lautan antarabangsa dengan kompas yang jelas dan haluan yang meyakinkan.
Kejayaan ini meyakinkan dunia antarabangsa untuk terus bertoleransi dengan Malaysia.
Ketika dunia terpecah oleh kepentingan dan persaingan, Malaysia memilih untuk menjadi jambatan, bukan tembok; menjadi pendamai, bukan pencetus sengketa; menjadi sahabat kepada semua, tanpa menggadaikan maruah dan kedaulatan negara.
Didengari dunia
Kekuatan terbesar PMX dalam arena diplomatik ialah keupayaannya menggabungkan idealisme dengan realiti.
Malaysia terus mempertahankan dasar berkecuali yang menjadi tunjang dasar luar negara sejak sekian lama.
Namun, pada masa yang sama memperluas jaringan hubungan dengan kuasa-kuasa besar dunia tanpa terperangkap dalam percaturan blok geopolitik.
Pendekatan ini bukan sahaja mencerminkan kematangan kepimpinan, malah memperlihatkan bahawa Malaysia mempunyai pendirian yang teguh.
Negara ini tidak hanyut mengikut arus, tetapi mengemudi arus itu sendiri dengan kebijaksanaan.
Seperti pohon rendang yang kukuh akarnya, Malaysia berdiri teguh dalam prinsip, namun sentiasa memberi teduhan kepada sesiapa yang mencari ruang dialog dan kerjasama.

Kebangkitan Malaysia
Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia menjadi bukti nyata keyakinan negara-negara serantau terhadap kemampuan kepimpinan negara.
Dalam suasana dunia yang semakin mencabar, Malaysia tampil mengangkat agenda keterangkuman, kemampanan ekonomi, transformasi digital, kecerdasan buatan dan keselamatan serantau.
Peranan ini bukan sekadar mencerminkan kemampuan pentadbiran, tetapi juga membuktikan bahawa suara Malaysia semakin mendapat tempat dalam menentukan masa depan rantau Asia Tenggara.
Bagaikan bulan yang tidak meminta dipuji namun tetap menerangi malam, Malaysia semakin disegani bukan kerana suara yang lantang, tetapi kerana hujah yang bernas dan kepimpinan yang berwibawa.
Pulangan kepada rakyat
Diplomasi yang berjaya bukan sekadar terakam dalam foto pemimpin berjabat tangan atau kenyataan bersama selepas sidang kemuncak.
Nilai sebenar diplomasi terletak pada manfaat yang kembali kepada rakyat. Rakyat juga berkesempatan menikmati bersama kejayaan tersebut dengan terbukanya peluang pekerjaan kepada mereka.
Melalui hubungan erat dengan pelbagai negara dan syarikat antarabangsa, Malaysia berjaya menarik pelaburan strategik dalam bidang semikonduktor, kecerdasan buatan, ekonomi digital dan teknologi masa hadapan.
Peluang pekerjaan baharu, pemindahan teknologi serta peningkatan keyakinan pelabur menjadi hasil langsung daripada usaha diplomatik yang tersusun.
Dalam bahasa yang mudah, apabila nama Malaysia dihormati di luar negara, pintu peluang akan terbuka lebih luas untuk rakyat di dalam negara.
Tidak pernah padam
Di tengah-tengah dunia yang sering dihimpit konflik dan pertikaian, PMX turut membawa suara kemanusiaan yang konsisten dan berprinsip. Malaysia tidak gemar kepada pertelingkahan dan konflik. Malaysia cintakan kedamaian.
Malaysia terus memperjuangkan keamanan, dialog dan keadilan dalam pelbagai forum antarabangsa. Pendekatan ini menjadikan negara bukan sekadar pemain ekonomi, tetapi juga suara moral yang dihormati.
Laksana pelita yang tetap menyala dalam kegelapan, Malaysia terus mengingatkan dunia bahawa kemajuan tanpa kemanusiaan hanyalah kemewahan yang kehilangan jiwa.
Terus melangkah
Sudah menjadi lumrah dalam demokrasi bahawa setiap pemimpin akan dinilai, dikritik dan diuji.
Namun, dalam menilai sesebuah kepimpinan, rakyat perlu melihat bukan hanya riak di permukaan, tetapi juga arus besar yang sedang menggerakkan negara ke hadapan.
Hakikatnya, kedudukan Malaysia di persada antarabangsa semakin kukuh. Dunia kembali memberi perhatian, pelabur kembali menunjukkan keyakinan, dan suara negara kembali didengari dalam pelbagai forum global.
Justeru, rakyat wajar terus memberikan keyakinan kepada kepimpinan PMX dan Kerajaan MADANI dalam meneruskan agenda memperkukuh kedudukan Malaysia di pentas dunia.
Kejayaan diplomasi bukanlah hasil yang dituai dalam sehari, tetapi benih yang ditanam hari ini untuk dituai oleh generasi masa hadapan.
Jika dahulu Malaysia dikenali sebagai negara yang berjaya membangun, hari ini Malaysia sedang bergerak untuk dikenali sebagai negara yang mampu memimpin dengan hikmah.
Dan selagi kemudi dipegang dengan kebijaksanaan, selagi prinsip menjadi pedoman, maka bahtera Malaysia akan terus belayar megah merentas samudera dunia, membawa harapan rakyat dan maruah negara ke ufuk yang lebih gemilang.
Rakyat menilailah dengan bijak. Usah dengar guruh di langit, air tempayan dicurahkan.
BACA JUGA AMANAH mula ‘panaskan enjin’ PRN Johor