Remaja 15 tahun dirogol ketika berjoging, Dr Hafidzah gesa Kelantan bangkit lawan penjenayah seksual
Kes seorang remaja perempuan berusia 15 tahun yang dipercayai dirogol ketika berjoging di kawasan Palekbang, Tumpat kelmarin mencetuskan kebimbangan serius.
Angkatan Wanita Amanah (Awan) Kelantan menggesa tindakan tegas dan menyeluruh diambil bagi membendung jenayah seksual yang semakin membarah.
Ketuanya, Dr Hafidzah Mustakim berkata, kes tersebut bukan sekadar jenayah terhadap seorang individu, sebaliknya satu serangan terhadap maruah, keselamatan dan kemanusiaan masyarakat keseluruhannya.
Menurut beliau, tragedi itu meninggalkan trauma mendalam bukan sahaja kepada mangsa tetapi juga ahli keluarga yang kini berdepan proses pemulihan panjang dari sudut fizikal dan emosi.
Beliau menegaskan keganasan seksual terhadap wanita dan kanak-kanak tidak boleh lagi dipandang ringan, dinormalisasikan atau dianggap sebagai isu terpencil kerana trend semasa menunjukkan peningkatan yang amat membimbangkan.
Jelasnya, data nasional merekodkan sebanyak 5,657 kes keganasan seksual melibatkan kanak-kanak pada tahun 2024, meningkat berbanding 4,884 kes pada tahun sebelumnya, dengan majoriti mangsa terdiri daripada kanak-kanak perempuan.
Di Kelantan pula, ujarnya, sebanyak 349 kertas siasatan jenayah seksual dibuka polis sepanjang sembilan bulan pertama 2025, meningkat hampir 36 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Lebih membimbangkan, katanya, kes rogol membabitkan kanak-kanak bawah umur menjadi antara kategori tertinggi yang direkodkan.
Beliau berkata, pihak polis mengenal pasti faktor seperti pengaruh bahan lucah, pergaulan bebas tanpa batas serta kegagalan masyarakat mengambil serius soal perlindungan remaja sebagai penyumbang utama.
Memburu pelaku
Sehubungan itu, Dr Hafidzah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Lama menggesa pihak berkuasa memperhebat usaha memburu pelaku yang masih bebas dan memastikan hukuman setimpal dikenakan sekiranya sabit kesalahan.
Beliau turut menuntut agar mangsa diberikan perlindungan menyeluruh termasuk rawatan perubatan, bantuan psikososial, kaunseling trauma serta sokongan berterusan supaya dapat membina semula kehidupan dengan bermaruah.
Dalam masa sama, pemimpin AMANAH berkenaan menyeru seluruh masyarakat Kelantan supaya bangkit menolak budaya berdiam diri terhadap keganasan seksual dengan segera melaporkan sebarang perlakuan mencurigakan dan memastikan kawasan awam lebih selamat untuk wanita serta kanak-kanak.
“Keganasan seksual bukan isu wanita semata-mata. Ia adalah isu kemanusiaan, keselamatan awam dan masa depan masyarakat. Tiada kompromi terhadap pemangsa, tiada toleransi terhadap keganasan,” tegas beliau.
“Keganasan seksual bukan isu wanita semata-mata. Ia adalah isu kemanusiaan, isu keselamatan awam dan isu masa depan masyarakat.
“Jika kita gagal melindungi anak-anak kita hari ini, kita sedang menggadaikan masa depan negeri ini.
“Tiada kompromi terhadap pemangsa. Tiada toleransi terhadap keganasan. Tiada seorang mangsa pun yang harus dibiarkan bersendirian,” tegas Dr Hafidzah lagi.
Dalam perkembangan berkaitan, remaja berusia 15 tahun yang didakwa disamun dan dirogol ketika berjoging di Palekbang, di Tumpat, kelmarin kini dalam keadaan stabil namun masih trauma dengan kejadian itu.
Ketua Polis Daerah Tumpat Asisten Komisioner Mohd Khairi Shafie dilapor berkata, mangsa kini sedang menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II di Kota Bharu.
Mohd Khairi berkata, polis mempergiatkan usaha untuk mengesan suspek yang masih bebas dengan menggerakkan Unit K9.
BACA JUGA AMANAH arah jentera pilihan raya bantu kemenangan PRN Johor, Negeri Sembilan