Tangga ke-23 ke-15 dunia: Apa Malaysia buat sehingga melonjak begitu pantas?

Malaysia mencatat lonjakan lapan anak tangga dalam Indeks Daya Saing Dunia IMD 2026 apabila naik ke kedudukan ke-15 dunia berbanding tangga ke-23 tahun lalu, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai ekonomi kedua paling berdaya saing di ASEAN selepas Singapura.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pencapaian itu sebagai bukti bahawa agenda reformasi ekonomi yang dilaksanakan kerajaan berada di landasan yang tepat.

Menurut beliau, peningkatan kedudukan Malaysia dalam penarafan antarabangsa itu turut mencerminkan kestabilan politik negara serta keyakinan pelabur yang semakin kukuh terhadap prospek ekonomi Malaysia.

“Alhamdulillah, pencapaian ini membuktikan bahawa usaha reformasi ekonomi, kestabilan politik serta keyakinan pelabur terhadap Malaysia berada pada landasan yang tepat,” katanya dalam satu kenyataan.

Anwar berkata kejayaan tersebut bukan hasil usaha kerajaan semata-mata, sebaliknya merupakan pencapaian bersama yang melibatkan rakyat, penjawat awam, komuniti perniagaan dan pelbagai pihak yang menyumbang kepada pembangunan negara.

Beliau merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang memainkan peranan dalam meningkatkan daya saing Malaysia sehingga berjaya melonjak lapan anak tangga dalam tempoh setahun.

“Tahniah kepada seluruh rakyat Malaysia, penjawat awam, komuniti perniagaan dan semua pihak yang telah menyumbang kepada lonjakan daya saing negara ke tangga ke-15 dunia.

“Kejayaan ini adalah hasil kerja keras bersama dan tekad untuk mengangkat martabat negara ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.

Berdasarkan penarafan terbaharu IMD World Competitiveness Index 2026, Malaysia kini berada di kedudukan ke-15 daripada 70 ekonomi yang dinilai di seluruh dunia.

Pencapaian itu turut meletakkan Malaysia sebagai antara negara yang mencatat peningkatan paling ketara dalam ranking daya saing global tahun ini.

Anwar menegaskan Kerajaan MADANI akan terus memperhebat usaha reformasi bagi memastikan pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran negara dapat dinikmati secara adil oleh semua lapisan masyarakat.

“Insya-Allah, Kerajaan MADANI akan terus bekerja kuat demi memastikan kemakmuran negara dapat dinikmati secara adil dan menyeluruh oleh seluruh rakyat,” katanya.

BACA JUGA AMANAH mula ‘panaskan enjin’ PRN Johor