AMANAH Johor persoal keperluan PRN awal, seru rakyat nilai rekod Kerajaan Madani

FOTO BERITA: Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Johor, Sr. Dzulkefly Ahmad mempersoalkan keperluan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor lebih awal sedangkan kerajaan negeri sedia ada masih mempunyai tempoh hampir 11 bulan sebelum tamat penggal.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya AMANAH Johor Zon Selatan yang turut dihadiri Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu di Dewan KPIP, Taman Universiti, Skudai, malam tadi. Menurut beliau, keputusan membubarkan DUN Johor bukan berpunca daripada isu ketidakstabilan politik kerana Barisan Nasional masih menguasai majoriti besar dengan memenangi 40 daripada 56 kerusi dalam pilihan raya lalu.

“Tiada isu kestabilan politik, tiada usaha menukar kerajaan dan tempoh pentadbiran masih berbaki hampir setahun. Persoalannya, mengapa pilihan raya negeri perlu diadakan sekarang ketika rakyat sedang berdepan cabaran kos sara hidup yang semakin meningkat,” katanya. Beliau berpandangan bahawa fokus kerajaan pada masa ini seharusnya tertumpu kepada usaha mengurangkan beban rakyat yang terkesan akibat ketidaktentuan ekonomi global dan konflik antarabangsa yang memberi kesan kepada harga barang serta kos kehidupan.

Dalam ucapannya, Dzulkefly turut mempertahankan pelbagai inisiatif yang diperkenalkan Kerajaan Madani bagi membantu rakyat menangani tekanan kos sara hidup. Antara langkah yang disebut termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA), subsidi petrol RON95 melalui program BUDI, kenaikan gaji minimum kepada RM1,700, pelarasan gaji penjawat awam serta pelaksanaan Program Jualan Rahmah di seluruh negara.

“Semua ini adalah usaha kerajaan Madani untuk memastikan rakyat terus mendapat bantuan secara langsung dan meningkatkan kuasa beli mereka,” katanya. Beliau turut menegaskan bahawa kestabilan politik serta kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan penting bagi memastikan pembangunan Johor dapat diteruskan. Menurutnya, pelbagai projek mega yang sedang dilaksanakan di negeri itu seperti Sistem Transit Rapid (RTS), Projek Landasan Berkembar Elektrik (ETS), sistem transit bandar serta penaiktarafan jaringan rel memerlukan sokongan dan peruntukan besar daripada Kerajaan Persekutuan.

“Johor menikmati pelaburan langsung asing (FDI) yang tinggi hasil dasar-dasar yang diperkenalkan Kerajaan Madani di peringkat Persekutuan. Kemajuan negeri ini bukan semata-mata hasil usaha kerajaan negeri, tetapi juga sumbangan besar kerajaan pusat,” ujarnya. Dalam pada itu, beliau turut mengetengahkan cadangan penyelesaian berkaitan isu pemilikan tanah dan perumahan di Johor, termasuk cadangan moratorium bagi mengelakkan spekulasi hartanah sekiranya status pegangan tanah ditukar daripada pajakan kepada pegangan bebas.

Dzulkefly turut mengimbau beberapa inisiatif perumahan yang pernah dilaksanakan ketika pentadbiran Pakatan Harapan di Johor, termasuk penambahbaikan kategori Rumah Mampu Milik Johor bagi memenuhi keperluan golongan B40 dan M40. Beliau berkata rekod pentadbiran Pakatan Harapan membuktikan gabungan itu mempunyai idea, pengalaman dan kemampuan untuk mentadbir negeri Johor sekiranya diberikan mandat oleh rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.

Mengakhiri ucapannya, beliau menyeru seluruh jentera dan penyokong Pakatan Harapan agar bekerja keras bagi memastikan kemenangan gabungan itu pada hari pengundian yang dijadualkan berlangsung pada 11 Julai depan. “Pelancaran jentera malam ini perlu menjadi pemangkin kepada strategi baharu untuk kita memberikan yang terbaik kepada Pakatan Harapan Johor dalam menghadapi PRN ke-16,” katanya.