Aminolhuda Imbau Sejarah Politik Johor, Tegaskan Kepentingan Kerjasama dan Kestabilan Menjelang PRN

FOTO BERITA: Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Johor, YB Tuan Haji Aminolhuda Hassan mengingatkan rakyat mengenai kepentingan kestabilan politik, kesepakatan antara parti serta keikhlasan dalam membentuk kerajaan yang mampu mentadbir dengan berkesan demi kepentingan rakyat.

Berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya AMANAH Johor Zon Selatan di Dewan KPIP, Taman Universiti, Skudai, beliau berkata pilihan raya negeri yang bakal berlangsung bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana Pakatan Harapan Johor telah menjangkakan kemungkinan Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan secara berasingan daripada Pilihan Raya Umum sejak kemenangan besar Barisan Nasional pada tahun 2022. Menurut beliau, pengalaman politik negara sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 pada tahun 2018 sehingga berlakunya perubahan kerajaan susulan Langkah Sheraton menjadi pengajaran penting mengenai perlunya kestabilan dan kesetiaan kepada mandat rakyat.

“Kerjasama dan kesepakatan dalam sesebuah kerajaan amat penting. Apabila ada parti yang meninggalkan gabungan yang telah diberikan mandat oleh rakyat, ia akhirnya menyebabkan ketidakstabilan politik dan perubahan kerajaan yang tidak dipilih secara langsung oleh rakyat,” katanya. Aminolhuda yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri turut mengimbau kejayaan Pakatan Harapan membentuk kerajaan Johor selepas Pilihan Raya Umum 2018 hasil kerjasama antara PKR, DAP, AMANAH dan Bersatu ketika itu. Bagaimanapun, katanya, keadaan berubah selepas berlakunya Langkah Sheraton yang menyaksikan Bersatu meninggalkan Pakatan Harapan dan membentuk gabungan baharu bersama UMNO serta PAS di peringkat Persekutuan.

Bagaimanapun, katanya, keadaan berubah selepas berlakunya Langkah Sheraton yang menyaksikan Bersatu meninggalkan Pakatan Harapan dan membentuk gabungan baharu bersama UMNO serta PAS di peringkat Persekutuan. Beliau berkata, walaupun gabungan parti-parti Melayu ketika itu dilihat lebih besar, perkembangan politik selepas itu membuktikan bahawa perpaduan politik tanpa kesepakatan yang kukuh sukar dipertahankan.

Dalam masa sama, Aminolhuda turut mendakwa Pilihan Raya Negeri Johor pada Mac 2022 berlangsung dalam keadaan luar biasa kerana negara masih berdepan kesan pandemik COVID-19. Menurutnya, kadar keluar mengundi yang rendah memberi kelebihan kepada Barisan Nasional apabila ramai pengundi, termasuk rakyat Johor yang bekerja di Singapura dan kawasan lain, tidak dapat pulang untuk menunaikan tanggungjawab mereka.

“Ramai pengundi tidak dapat pulang kerana sekatan dan kebimbangan akibat pandemik. Keadaan itu memberi kesan kepada peratusan keluar mengundi yang jauh lebih rendah berbanding kebiasaan,” katanya. Beliau berkata pengalaman tersebut perlu dijadikan pengajaran oleh rakyat Johor agar terus mempertahankan nilai perpaduan, kerjasama politik yang jujur serta kestabilan pentadbiran demi memastikan pembangunan negeri dapat diteruskan secara konsisten.

Menurutnya, Pakatan Harapan akan terus menawarkan pendekatan politik yang berteraskan kerjasama, kesederhanaan dan pentadbiran yang stabil bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Johor ke-16 yang bakal berlangsung pada 11 Julai depan.