Jentera PH Ketepi Perbezaan, Fokus Tawan Kota Iskandar – Mat Sabu

FOTO BERITA: Majlis Pelancaran Jentera Pilihanraya Amanah Johor (Zon Selatan) bersama YB DS Mohamad Sabu, Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) di Dewan KPIP, Jalan Kebangsaan 58, Taman Universiti, Skudai, Johor Baharu. 19hb Jun 2026

Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Mohamad Sabu menegaskan bahawa kestabilan politik merupakan faktor utama yang perlu dipertahankan bagi memastikan pembangunan negara dan negeri Johor dapat diteruskan secara mampan. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya AMANAH Johor Zon Selatan di Dewan KPIP, Taman Universiti, Skudai, malam tadi yang menghimpunkan kepimpinan dan penyokong Pakatan Harapan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.

Menurut Mohamad yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Pakatan Harapan akan memasuki gelanggang pilihan raya sebagai satu pasukan yang bersatu selepas pengumuman calon-calon bagi 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor oleh kepimpinan gabungan itu.

“Selepas pengumuman calon dibuat, semua parti dalam Pakatan Harapan mesti bergerak sebagai satu pasukan. Calon AMANAH, DAP atau PKR adalah calon bersama yang wajib kita menangkan,” katanya Beliau berkata, perbezaan pandangan dalam proses pemilihan calon adalah perkara biasa dalam mana-mana parti politik, namun semangat perpaduan perlu diutamakan demi memastikan kemenangan gabungan itu.

Mohamad turut mengimbau sejarah politik negara dengan menegaskan bahawa kestabilan kerajaan merupakan elemen penting dalam menjamin kemajuan negara. Menurutnya, perubahan kerajaan yang berlaku tanpa melalui proses pilihan raya selepas Pilihan Raya Umum 2018 telah memberi kesan kepada kestabilan politik negara dan menjadi pengajaran penting kepada semua pihak.

“Jika mahu melakukan perubahan, biarlah melalui proses demokrasi dan pilihan raya. Itulah yang kita tawarkan kepada rakyat Johor pada 11 Julai nanti,” katanya. Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa Pakatan Harapan mampu menawarkan pentadbiran yang lebih stabil dan selari dengan Kerajaan Persekutuan yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam ucapannya, Mohamad turut berkongsi pengalaman kementeriannya dalam memperkukuh aspek keterjaminan makanan negara melalui kerjasama antarabangsa. Beliau berkata hubungan diplomatik yang baik dengan pelbagai negara telah membantu Malaysia menangani cabaran bekalan makanan, termasuk ketika negara berdepan isu kekurangan beras putih tempatan beberapa tahun lalu.

“Kita perlu sentiasa membina hubungan antarabangsa yang baik kerana isu keterjaminan makanan kini berkait rapat dengan faktor geopolitik, perubahan iklim dan rantaian bekalan global,” jelasnya. Beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan sentiasa berusaha menangani pelbagai cabaran semasa termasuk isu bekalan makanan, industri ayam dan telur, serta persaingan perniagaan yang melibatkan tenaga kerja dan peniaga asing.

Dalam masa sama, Mohamad menolak politik perkauman sebagai jalan penyelesaian kepada masalah rakyat. Menurutnya, kemajuan sesebuah kaum tidak boleh dicapai melalui kebencian terhadap kaum lain, sebaliknya perlu dibina melalui usaha, pendidikan, peluang ekonomi dan sokongan kerajaan.

“Perkauman tidak menyelesaikan masalah. Kita perlu bersaing secara sihat, meningkatkan keupayaan ekonomi dan membantu golongan yang memerlukan tanpa mengira kaum,” katanya. Beliau turut mempertahankan pendekatan dasar luar Malaysia yang mengamalkan prinsip berkecuali dan menjalin hubungan baik dengan pelbagai kuasa dunia termasuk China, Amerika Syarikat, Rusia serta negara-negara Eropah.

Pada masa sama, katanya, Malaysia terus konsisten menyuarakan pendirian terhadap isu kemanusiaan di Palestin dan menolak sebarang bentuk kezaliman yang melanggar undang-undang antarabangsa.

Mengulas pembangunan Johor, Mohamad memuji usaha Kerajaan Persekutuan dalam melaksanakan pelbagai projek infrastruktur strategik termasuk sistem pengangkutan awam yang dijangka merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi negeri itu.

Beliau berkata kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan penting bagi memastikan segala projek pembangunan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

“Johor mempunyai potensi yang sangat besar. Sebab itu penting untuk mewujudkan kerajaan negeri yang sehaluan dengan Kerajaan Persekutuan supaya pembangunan dapat dipercepatkan demi manfaat rakyat,” katanya.

Pada akhir majlis, Mohamad secara rasmi melancarkan Jentera Pilihan Raya AMANAH Johor Zon Selatan dan menyeru seluruh jentera Pakatan Harapan memperkukuhkan gerak kerja menjelang hari pengundian pada 11 Julai depan.
