PM Anwar tegas pembangunan mesti dirasai rakyat, bukan sekadar angka pelaburan
Perdana Menteri menegaskan pembangunan negara yang sebenar tidak boleh hanya diukur melalui angka pelaburan atau kadar pertumbuhan ekonomi semata-mata, sebaliknya mesti memastikan manfaat kemajuan itu benar-benar dirasai oleh seluruh rakyat.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, projek Setia Fontaines Industrial Park di Kepala Batas menjadi contoh penting pendekatan pembangunan Kerajaan MADANI kerana bukan sahaja merancakkan ekonomi setempat, malah membuka ruang pekerjaan berkualiti serta memperluaskan peluang latihan kemahiran kepada masyarakat.

Menurutnya, pembangunan di kawasan yang sebelum ini tidak menikmati pertumbuhan setara dengan kawasan lain perlu diberi perhatian supaya jurang pembangunan dapat dirapatkan secara lebih adil dan saksama.
“Pembangunan yang bermakna bukan sekadar menjulang angka pelaburan atau mempercepat pertumbuhan, tetapi memastikan hasil kemajuan itu dirasai seluruh lapisan masyarakat.

“Sebab itulah projek seperti ini sangat mustahak kerana ia menjamin peluang pekerjaan berkualiti, memperluas latihan kemahiran serta menjelmakan pembangunan di kawasan yang sebelum ini ketinggalan,” katanya.
Beliau turut menjelaskan Malaysia kini sedang memasuki fasa baharu ekonomi yang berteraskan teknologi tinggi termasuk sektor semikonduktor, inovasi dan kecerdasan buatan (AI).
Namun, Perdana Menteri menegaskan fokus kerajaan tetap meletakkan manusia sebagai keutamaan utama dalam agenda pembangunan negara.
Katanya, generasi masa depan perlu dilengkapkan bukan sahaja dengan kemahiran dan kepakaran, tetapi juga nilai ihsan, tanggungjawab sosial serta keupayaan membina masyarakat yang berdaya tahan.
Sehubungan itu, Anwar memberi jaminan Kerajaan MADANI akan terus memastikan setiap projek pembangunan yang dilaksanakan membawa manfaat secara adil kepada rakyat, di samping memelihara kepentingan komuniti setempat serta memperkukuh daya saing Malaysia di peringkat global.
BACA JUGA Terkenal suka baca doa Qunut Nazilah, kereta MP Pas ini dilanggar Axia